Tuesday, September 2, 2008

*TAZKIRAH RAMADHAN.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG..

Segala puji bagi Allah s.w.t yang mewahyukan kalamnya kepada junjungan mulia Saidina Muhammad ibnu Abdullah s.a.w sebagai penyucian jiwa, pembersih hati dan pemberi kebahagiaan dunia dan akhirat kepada semua hambanya. Di dalam pensyaritan agamanya tersusun rapi ibadah-ibadah, yang cukup indah untuk hambaNya mendekatkan diri kepadaNya. Hal ini menjadikan islam itu cukup indah dan dapat dihayati sekiranya manusia itu menjadi golongan yang berfikir tentang keajaiban islam.

Di antaranya yang terpenting ialah ibadah puasa yang merupakan kefardhuan yang jami’ (meliputi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil kerana melaluinya seseorang dapat mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh. Tujuannya, supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan orang-orang yang soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa raga meraka, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t dengan tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan yang simbolik, menjadi rahsia antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Lantaran itu, orang yang melakukan ibada puasa diberikan keistimewaan. Allah s.w.t memilihnya dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaanNya sebagai jaminan masuk ke syurga dan layak bertemu denganNya.
Rasulullah s.a.w telah mengungkapkan sabdanya di dalam hadith qudsi. (kata Allah s.w.t) “setiap amalan anak Adam adalah baginya, melainkan puasa, maka ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.”

Syukur kapada Allah s.w.t, kerana pada hari ini kita berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang menguji kesabaran dan membakar nafsu tetapi menghadiahkan dua kegembiraan dan lailatul qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Tahniah kepada saudara sekalian kerana masih diberi kesempatan melipat gandakan amalan dengan kedatangan bulan yang mulia lagi berkat ini.

Dengan menghayati ibadah puasa, akan melahirkan insan yang berjiwa murni dan bersifat terpuji. Seseorang itu akan lebih kasih dan belas kepada orang yang susah dan memerlukan dan berasa rendah diri terhadap makhluk yang lain. Bahkan, dia akan menyedari keagungan Allah s.w.t dankebesaran rahmatnya serta nikmatNya yang dicurahkan kepadanya hingga di benar-benar menjadi insan bertakwa

Kerana OUTCOME BASE EDUCATION kefarduan puasa untuk melahirkan golongan MUTTAQIN yakni golongan mereka yang bertakwa.

Firman Allah s.w.t “. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” al baqarah:183.

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..