Dengan Nama Allah s.w.t..

Tuesday, November 3, 2009

*Keperluan Sirah Nabawiyyah ke atas Ummah Islam

Majlis Ilmu antara wadah untuk memberi kefahaman kepada Ummah Islam

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Antara Terang dan Nyata..


Detik ini, senario masyarakat Malaysia yang beraqidahkan mentauhidkan Allah s.w.t dan membenarkan kerasulan Saidina Muhammad s.a.w semakin dilanda delima krisis peribadi Muslim .. Saban hari, semakin bertambah Muslim yang jahil tentang ad-deen Islam.. Kefahaman untuk menggabungkan Islam sebagai agama ataupun ad-deen yang fitrah dengan kehidupan seharian semakin kurang difahami oleh masyarakat Muslim..


Kini, fahaman sekular yang memisahkan kehidupan mentadbir dunia dengan kefahaman terhadap ad-deen semakin menyerap masuk ke dalam pemikiran Ummah Islam.. Ramai yang menyatakan bahawa Islam itu sekadar berlegar di dalam masalah ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan menunaikan haji.. Islam hanya berkait dengan persoalan nikah-cerai, persoalan kelahiran - kematian, dan hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlaq..


Ramai yang masih tidak faham apakah maksud Islam itu merupakan agama yang fitrah.. Kefahaman berkaitan islam sebagai manhaj ataupun kaedah untuk mengurus kehidupan manusia masih tidak difahami oleh Ummah Islam.. Hal ini berlaku lantaran Islam itu hanya berlegar secara teori di dalam masyarakat dan tiada praktikal yang menunjukkan Islam itu merupakan agama yang fitrah yang melengkapi kehidupan manusia..


Islam merupakan agama yang fitrah.. Islam mengajar bagaimana ingin membentuk seorang manusia dengan menjelaskan aqidah yang soheh, ibadah yang diterima dan ihsan yang membentuk peribadi.. Kemudian dikembangkan berkaitan membentuk "biah solehah" ataupun masyarakat yang soleh dengan institusi kekeluargaan yang bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.. Dilanjutkan pula dengan sistem kenegaraan yang dilandaskan siyasah Islamiyyah ataupun politik di dalam Islam yang mana Politik dalam Islam inilah yang akan membentuk pengurusan yang dikehendaki dalam Islam..


Yang mana Politik Islam inilah yang akan menjaga "Maqhasid Syar'ie" ataupun "Tujuan pengsyariatan Islam"


1. Menjaga Aqidah manusia..

2. Menjaga Jiwa manusia..

3. Menjaga keturunan manusia..

4. Menjaga aqal manusia..

5. Menjaga harta benda manusia..


Hal ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Baqarah ayat 30

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat ; Sesaungguhnya aku akan jadikan di atas muka bumi itu khalifah"..


Bermulanya dengan dasar melantik imam (ketua negara) dan khalifah yang didengar lagi ditaati supaya Ummah Islam bersatu padu dan melaksanakan hukum-hukum syariah.. Di sinilah letaknya titik permulaan untuk melihat kembali Islam itu menjadi praktikal dan bukan sekadar teori..


Setelah menilai secara ringkas perihal situasi kejahilan Ummah Islam.. Antara tajdid yang perlu dibawa di dalam masyarakat Islam yang disarankan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam kitab Fiqh Al Harakah untuk kembali mempraktikkan Islam dan menghapuskan kejahilan Ummah Islam terhadap Ad-deen ini ialah


1. Memahami syakhsiyyah Rasulullah s.a.w di dalam kehidupannya dan situasi yang dialaminya bagi menyakinkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu bukan sekadar tokoh di kalangan kaumnya tetapi lebih dari itu sebagai seorang Rasul yang didokong dan disokong dengan wahyu dan sentiasa mendapat taufiq dan hidayah Allah s.w.t..


2. Mendapat gambaran yang jelas dari contoh yang paling baik dalam kehidupan yang paling berakhlak da bernilai tinggi , yang menjadi perlembagaan hidup yang wajib dipegang dan semestinya mendapat kejayaan di dunia dan akhirat, yang hanya wujud di dalam perjalanan hidup Rasulullah s.a.w


3. Mendapat kefahaman berkaitan Kitab Allah s.w.t dengan betul melalui penghayatan dan merasai roh dan matlamatnya, kerana kebanyakan ayat-ayat Al Quran turun itu ditafsirkan oleh peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w


4. Mengumpulkan pengatahuan yang sebanyak-banyaknya tentang Islam samada yang berhubung dengan 'aqidah, hukum-hukum atau akhlaq, kerana peribadi Rasulullah s.a.w mengandungi contoh Islam yang sebenarnya..


5. Menjadi seorang Mu'min dan muslim yang dapat meneruskan cita-cita Islam melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w..


Terang dan nyata bahawasanya hanyalah memahami sirah nabawiyyah dapat menghapuskan kejahilan yang melanda Ummah Islam.. Kaedahnya pelbagai.. Islam bukanlah jumud dalam masalah teknikal ataupun kaedah pelaksanaan.. Selagi mana ianya tidak diharamkan oleh Islam.. Maka kaedah itu diterima oleh Islam..


Sekiranya Islam itu boleh dikembalikan dengan demokrasi, Islam membenarkannya.. sekiranya Internet itu boleh memudahkan urusan dakwah islamiyyah.. Islam Membenarkannya.. Bukanlah Islam itu statik di masjid-masjid sahaja.. Tetapi bermulanya dakwah Islam itu daripada Masjid.. Kemudiannya dikembangkan kepada sistem pengurusan kehidupan yang lain.. Politik, Muamalah, Munakhahad, Hubungan antarabangsa dan sebagainya..


Sekian, terima kasih..


Thursday, October 15, 2009

*Syurga atau neraka?..

PUSAT ISLAM YANG DIPENUHI TIANG KIPAS BERBANDING JEMA'AH SOLAT!!!!

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Syurga atau neraka?..


Apabila ditanyakan kepada sesiapa sahaja yang waras fikirannya samada dia ingin memiliki syurga atau neraka?.. Sudah pastilah syurga yang menjadi pilihan.. Tanyalah kepada sesiapapun samada dia beriman kepada Allah s.w.t ataupun mereka yang mensyirikkan Allah s.w.t.. Samada mereka yang berbangsa Melayu, Cina atau India.. Samada yang berusia puluhan atau belasan tahun.. Hatta, anak-anak kecil.. Pastinya syurga yang menjadi pilihan..


Tidak kiranya apa sekalipun pangkatnya.. Professor! Doktor! Jurutera! Ustaz! Tukang sapu sampah sekalipun.. Syurga merupakan idaman setiap insan.. Siapa tidak mahu menikmati kelazatan syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.. Pelbagai nikmat dan keindahan yang dijanjikan terhidang dan disediakan kepada para penghuninya..


Antara Firman Allah s.w.t yang membicarakan kenikmatan syurga.. Di dalam Surah Al Baqarah ayat 25 "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya"..


Pelbagai limpahan nikmat yang penuh kelazatan disediakan untuk mereka yang diberi kelayakan untuk memasuki syurga.. Apa yang pasti, antara sebahagiaan kenikmatan syurga yang dipaparkan di dalam Al Quran seperti sungai-sungai yang indah, pepohon yang mengajaibkan, mahligai singgahsana yang disaluti emas dan permata, bidadari-bidadari yang cantik rupawan, makanan dan minuman yang melazatkan semuanya disedikan untuk penghuni syurga..


Perlu diingatkan bahawasanya syurga merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh difahamkan dengan kefahaman yang sedia ada.. Sebagai contoh, Bukanlah sungai di syurga itu umpama sungai yang ada di muka alam ini.. Syurga merupakan suatu tempat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telingat, tidak pernah terlintas diminda dan tidak pernah terbayang dek hati..


Namun persoalannya.. Apakah layak untuk kita ini menerima nikmat yang tidak terungkap ini?.. Apakah kita ini bakal menikmati segala nikmat yang tersedia untuk penghuni syurga?.. Apakah keadaan diri kita sekarang ini, sifat, tingkah laku, amal ibadah dan pemikiran yang ada pada diri kita dapat menjamin keberadaan kita di dalam syurga?..


Sekiranya kita melihat senario kampus kejuruteraan USM ini sendiri.. Bagaimana keadaan sosiamasyarakat kampus?.. Bagaimana integriti masyarakat kampus sekarang ini?.. Bagaimana penghayatan terhadap keindahan Islam itu?.. Terutamanya, mereka yang beriman kepada Allah s.w.t.. Bolehkan kita meraih syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t?..


Di dalam ruangan yang singkat ini.. Mari menilai usaha untuk mendapatkan syurga daripada aspek solat berjemaah.. Cuba buat pemerhatiaan.. Berapa ramai antara kita yang memenuhi ruang Pusat Islam dan Surau-surau di blok desa apabila Muazzin melaungkan Azan magrib?.. Dan berapa ramai pula yang memenuhi kafeteria?..


Rialiti kini, semakin hampir waktu magrib, semakin ramai yang memenuhi kafeteria.. Bukan sahaja mereka yang syirik kepada Allah s.w.t yang memenuhi kafeteria.. Tetapi, malangnya ramai yang bermula namanya dengan "MUHAMMAD" berlumba ke kafeteria.. Sedangkan azan sedang dilaungkan.. Hilang rasa sifat sensitiviti terhadap laungkan azan di dalam diri masyarakat kampus ini..


Kalau diimbas lima ke eman tahun yang lalu.. Apabila laungkan azan magrib berkumandang.. Maka, berduyun-duyun warga kampus untuk memenuhi ruang Pusat Islam dan Surau-surau desa untuk solat berjemaah.. Tetapi, sejak kebelakangan ini.. Iklim perubahan seakan melanda kampus ini.. Yang mana apabila azan magrib dilaungkan.. Barulah Ummah-Ummah yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t berhenti daripada bersukan dan bekejaran untuk memenuhi perut yang lapar.. Lengang Pusat Islam dan Surau.. Lebih banyak tiang kipas daripada jemaah..


Kalau dinilai pula daripada aspek pemakaian.. Yang mana wajib hukum menutup aurat dan fasiq kepada mereka yang membiarkan auratnya terbuka.. Tetapi apabila kita melakukan survey di kampus ini.. Berapa ramai mereka yang berusia 21 tahun memakai pakai adik-adik mereka yang berusia 12 tahun.. Ramai yang bersukan yang memakai seluar yang lebih singkat daripada apek kedai runcit yang menjual sayur dan ikan.. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah dan mereka yang syirik kepada Allah s.w.t.. Sama sahaja keadaannya.. Cuma lebihnya untuk yang muslim ada kain nipis yang menutup kepalanya..


Disinilah letaknya persoalan yang cuba dilontarkan.. Bagaimana syurga yang diidamkan ingin dikecapi?.. Sedangkan perbuatan, perkataan dan tingkah laku kita tidak pernah menjurus untuk ke syurga.. Sebaliknya apa yang kita amalkan menjurus kita di azab oleh Allah s.w.t.. Semua yang dilakukan adalah sentiasa ingkar kepada Allah s.w.t..


Bukanlah semua warga kampus tergolong di dalam golongan yang dibicarakan.. Ada yang istiqamah beriltizam dengan penghayatan Amal Islami.. Harapannya akan terus istiqamah walaupun dipandang janggal oleh manusia.. dan bukanlah tujuaan artikel ini dititipkan ke laman blog ini menunjukkan kebaikan peribadi.. Ianya sekadar peringan untuk diri sendiri dan semua saudara.. Kerana perkara ini perlu dilihat semula supaya dapat kita bermuhasabah..


Kalaulah syurga yang kita mahukan.. Maka, mengapa langkah ke neraka yang kita amalkan?.. Fikirkan dan renungkan.. Selagi usia masih diberikan oleh Allah s.w.t.. Saat untuk kembali bertaubat masih terbuka luas..


Kerana itulah, Allah s.w.t berfirman di dalam surah At Tahrim ayat 8 "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah (syurga) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,"


Sekian, terima kasih..




Tuesday, October 6, 2009

*Islam Vs Sekularisme

LAMBANG KESATUAN UMMAH ISLAM..

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Dunia dan Akhirat..


Semakin mendatang hari, semakin ramai Ummat Islam menjadi jahil terhadap Islam itu sendiri.. Tidak ramai Ummat Islam berjaya memahami maksud Islam itu merupakan Ad Deen yang bersesuaian dengan fitrah manusia.. Inilah natijah pengaruh sekularisme yang dibawa di dalam oleh kristian kian berleluasa meracuni minda Ummat Islam.. Khususnya, di Malaysia ini kesan pemerintahan British dan pemerintah yang mengekalkan pengaruh ini..


Sekularisme ialah ideologi bahawa urusan keduniaan seperti politik, pentadbiran, jual beli dan undang-undang harus dipisahkan dari urusan keagamaan.. Sekularisme memperjuangkan hak untuk bebas dari peraturan dan ajaran agama, dan kebebasan dari ajaran agama yang dipaksakan oleh pemerintah ke atas rakyat..


Dengan kata lain, sekularisme merujuk kepada kepercayaan bahawa kegiatan dan keputusan yang dibuat oleh manusia, terutamanya yang berkaitan politik, harus berdasarkan bukti dan fakta bukannya pengaruh agama..


Natijahnya, Ramai yang mengasingkan manhaj Islam itu dalam kehidupan seharian.. Ramai yang beranggapan Islam itu hanyalah sekadar solat, zakat, haji, puasa dan perkara-perkara yang melibatkan urusan kematian.. Ramai yang tidak lagi beranggapan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian merupakan suatu penilaian untuk di hisab di padang masyar kelak..


Kenapa bertambah-tambah manusia yang mengamal kebatilan di dalam setiap pekerjaannya?.. Kenapa semakin meruncing kadar jenayah merompak, rogol dan sebagainya berlaku pada hari ini?. Kenapa semakin teruk sifat peribadi muda-mudi Islam di kala ini?.. Kenapa nilaian jiwa masyarakat Islam semakin dipandang serong oleh mereka yang bukan Islam?..


Jawapannya, adalah kerana nilaian Islam itu sedah tiada di dalam setiap jiwa Ummah Islam.. Sifat intigriti semakin terhakis di dalam diri Ummah Islam.. Bermula dari kalangan pemimpin Islam yang ramai mengamalkan rasuah dan pengalahgunaan kuasa.. Institusi keluarga yang bercerai berai.. Berkahwin hanya sekadar nafsu sehaja bukannya untuk memberi kekuatan untuk perjuangan Islam.. Institusi pendidikan hanya menekankan kecemerlangan akademik tanpa menilai sahsiah peribadi muslim..


Rosak dan punah segala sistem kehidupan manusia lantaran Islam itu diasingkan daripada kehidupan.. Tercalar keindahan Islam lantaran kejahilan Ummahnya.. Islam yang indah terhijab kerana kebodohan dan pengaruh nafsu manusia..


Islam itu merupakan Ad Deen bukannya agama kerohaniaan sehaja.. Islam merupakan manhaj politik, Islam merupakan manhaj pentadbiran, Islam merupakan manhaj sosioekonomi, Islam merupakan perintis kepada pekembangan kejeruteraan..


Sebutlah apa sahaja yang melibatkan kehidupan manusia.. Semuanya telah disusun dengan indahnya di dalam manhaj Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.. Bermula daripada manhaj kehidupan individu sehinggalah menegakkan Daulah Islamiyyah.. Telah terbukti di dalam sejarah akan kehebatan Islam itu..


Kerana itulah di dalam Surah Al Baqarah ayat 208 " Hai orang-orang yang beriman!!, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."


Dalam ruangan yang terbatas ini.. Satu mekanism yang cuba diketengahkan disini yang boleh di terapkan di dalam setiap jiwa Ummah Islam.. Untuk kembali kepada lantasan sebenar.. Langkah utamanya ialah mengembalikan seluruh hubungan kehidupan dunia dan dengan akhirat.. Hubung kaitkanlah kehidupan dunia dengan akhirat.. Niatkan segala aktiviti kehidupan seperti bekerja, belajar, makan dan sebagainya hanyalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t..


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata ketika Hari Raya 1429 / 1.10.2998


"Sebagaimana tubuh atas dunia ini berkehendak kepada makan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum.. Untuk makan minum di dunia ini terpaksa menggunakan duit untuk membeli beras, petrol, bayar sewa rumah. Tapi duit tidak laku lagi bila sahaja kita masuk ke dalam kubur. Duit Amarika tidak laku. Jongkong emas pun tidak lagu. Yang laku hanyalah pahala."


Ucapan ringkas Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat ini mempunyai huraian yang lengkap sekiranya ianya dapat difahami.. Hanyalah Ummah Islam yang dapat menyambungkan dunia ini dengan akhirat dapat mengatasi kecelaruan Ummah di zaman ini.. Sekiranya manusia berlumba mengejar pahala untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Yakinlah, akan selesai segala masalah sekalipun bertimbun masalah mendatang sekiranya Islam menjadi penyelesaiannya..


Sebagai akhirnya, pilihlah Islam sebagai manhaj kehidupan.. Sokonglah perjuangan Islam untuk mendaulatkan Daulah Islamiyyah.. Hanyalah Islam membawa perubahan kedalam kehidupan manusia.. Singkaplah sejarah, bagaimana satu bangsa yang jahil mampu berubah menjadi bangsa yang hebat yang mampu menumbangkan Parsi dan Rom lantaran Islam sebati dengan mereka..


Sekian terima kasih..










Thursday, October 1, 2009

*Selepas 13 hari berlalu

JOM PERGI MASJID!!!! REMPIT KE MASJID!!! JOM HEBOH SOLAT!!!

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Ramadhan Oh Ramadhan..


Akhirnya berlalulah sudah Ramadhan yang mana di sepanjang penjelajahannya manusia ditarbiyyah dengan pelbagai aktiviti yang menjana ketakwaan.. Sekurang-kurang ibadat puasa yang diwajibkan supaya dipraktikan oleh semua manusia yang mentauhidkan Allah s.w.t.. Kesannya sewajarnya dapat mentarbiyah dan menjana hawa nafsu untuk ditundukkan oleh iman.. Dengan itu, lahirlah manusia yang disebut Al Muttaqin atau difahami sebagai manusia yang bertakwa..

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 183 “Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu, sebagaimana yang telah diwaibkan kepada ummah terdahulu sebelum kamu, Mudah-mudahan kamu memperleh ketaqwaan.”

Saat ini sebenarnya telah bermula untuk kita bermuhasabah diri.. Apakah yang disebut oleh Allah s.w.t di dalam ayat di atas benar-benar dicapai oleh kita?.. Peri pentingnya untuk kita bermuhasabah adalah untuk meletakkan diri kita disisi Allah s.w.t..

Sekiranya benar kita mengakui keimanan kepada Allah s.w.t.. Sewajarnya kita menilai apakah tahap kita disisi Allah s.w.t?.. Apakah kita ini merupakan hambanya yang dikasihi oleh Allah s.w.t lantaran perbuatan yang kita lakukan seiring dengan apa yang diajari oleh Rasulullah s.a.w, atau apakah kita ini merupakan hamba yang sering meingkari dan melanggar perintah Allah s.w.t?..

Kata Allah s.w.t di dalam Surah Al Hujuraat ayat ke 13 “Sesungguhnya mereka yang paling hampir (paling dikasihi, paling dimuliakan) disisi Allah s.w.t merupakan mereka yang bertaqwa”..

Ramadhan membekalkan pekej rangsangan untuk mencapai target yang diletakkan oleh Allah s.w.t untuk menjadi hamba yang dikasihi olehNya.. Di bulan ini, kita dilatih dengan Solat terawih, memperbanyakkan bertadarus, bersedekah, membela anak-anak yatim, zakat dan banyak lagi ibadah..

Apakah masih lagi kita meneruskan aktiviti di bulan Ramadhan lalu di waktu ini?.. Sekiranya dahulu di bulan Ramadhan, kita tidak renggang berjemmah di Masjid-masjid untuk Solat Fardhu, Apakah masih kita istiqamah dengannya?.. Jika kita merupakan mereka yang menghidupkan malam di bulan Ramadhan?.. Apakah masih kita melawan nafsu tidur kita untuk mendirikan sekurang-kurangnya 2 rakaat solat malam?..

Begitu jugalah dengan sifat peribadi kita.. Sekiranya di bulan Ramadhan, kita menjadi manusia yang paling pemurah dengan menderma dan membantu manusia untuk berbuka puasa terutamanya terhadap anak yatim.. Masihkan berkekalan amalan itu?.. Sekitanya sifat-sifat mahmudah seperti sifat sabarnya benar kita praktikkan di Bulan Ramadhan.. Masihkan sabar itu hidup di jiwa kita?.. Cuba renung dan bayangkan..

Semua persoalan di atas hanya mempunyai satu jawapan yang dapat menjawap segalanya.. Di sinilah letakkannya bukti Ketaqwaan di dalam diri tiap-tiap insan.. Semua amalan di atas hanya mampu dilakukan dengan istiqamah atau konsisten lantaran kesan taqwa yang Berjaya di bina sepanjang bulan Ramadhan..


Ingatlah peringatan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w memberi amaran bahawasanya Ramai manusia berpuasa tidak memperoleh apa-apa melainkan hanya lapar dan dahaga.. Alangkah rugi dan dukacitanya sekiranya dibulan Ramadhan kita pulun melakukan ibadah dengan bersungguhnya.. Tetapi, tidak menjamin natijah yang di harapkan..

Apakah kita ini tergolong di dalam golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga?.. Jawapannya ada pada diri sendiri.. Tepuk dada, tanyalah iman.. Jangan lah menjadikan diri kita sebagai hamba yang beriman hanya di bulan Ramadhan.. Istiqamahlah dan mintalah bantuan Allah s.w.t untuk beristiqamah..

Sebagai akhirnya, peringatan ini hanyalah untuk diriku dan kepada mereka yang mengharapkan peringatan daripada sesame muslim..


Sekian, terima kasih..

Thursday, September 3, 2009

*Qiyam Al Layl


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

Saranan Berqiamulail..

Rasulullah s.a.w merupakan seorang rasul yang maksum.. Dijamin oleh Allah s.w.t terpelihara daripada sebarang titipan dosa noda.. Tidak pernah sekalipun terdetik di dalam diri untuk melakukan kemungkaran dan kekejian.. Di hati sanubari Rasulullah s.a.w hanyalah tersimpan satu rasa untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Hanya Allah s.w.t yang tahu bagaimana kecintaan Rasulullah s.a.w kepada kekasihnya Allah 'Azza wa jalla..

Lantaran itulah, Ramadhan merupakan Bulan yang amat dirindui oleh Rasulullah s.a.w.. Telah masyur kepada kita.. Bahawasanya apabila masuk Bulan Rejab.. Maka, rintihan Rasulullah s.a.w kepada Allah s.w.t agar memberkati diri Rasulullah s.a.w di Bulan Rejab dan Syaaban dan dipohon agar diizinkan diri Rasulullah s.a.w untuk singgah di Bulan Ramadhan..

Hanyasanya mereka yang mengerti hakikat taqwa di sisi Allah s.w.t seperti Rasulullah s.a.w begitu mengharap untuk memasuki madrasah Ramadhan yang dijanji akan penghasilan taqwa yang hakiki.. Sebagaimana, yang disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 183

"Wahai orang-orang yang beriman! dijawabkan berpuasa ke atas kamus seperti mana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu memperoleh ketaqwaan."

Renungkan, Bagaimana dengan kita?.. Setelah setengah Ramadhan ditempuh.. Apakah perasaan yang tertanam di dalam diri Rasulullah s.a.w tersemat pada diri kita?.. Tidak rasa rugikan kita yang tidak maksum seperti Rasulullah s.a.w tidak pernah menghargai langsung anugerah hebat daripada Allah s.w.t?.. Kerana Allah s.w.t telah menjanjikan keampunan akan dosa-dosa di fasa kedua Ramadhan ini.. Maka, Mengapa tidak kita mengejarnya?..

Pelik benar sekiranya kita mengakui beriman.. Yang sering melakukan kesilapan dan kesalahan di sisi Allah s.w.t.. Tidak meresai kelazatan dan kegembiraan dengan keampunan Allah s.w.t di Bulan Ramadhan yang terhidang ini..

Sewajibnya kita menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh yang terbaik.. Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w merupakan pembuktian akan keimanan kepada Allah s.w.t.. Maka, sewajarnya menjadikan amalan Rasulullah s.a.w di bulan Ramadhan ketika mana kita berada di Bulan Ramadhan ini..

Antara kelaziman Rasulullah s.a.w di Bulan Ramadhan ialah Berqiamulail.. Al Imam Bukhari dan Muslim menukilkan di dalam kitab Soheh mereka akan galakan Rasulullah s.a.w kepada Ummah Islam untuk berqiamulail.. Rasulullah s.a.w bersabda "Sesiapa yang menghidupkan malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa yang telah lalu"..

Firman Allah s.w.t di dalam Surah al Furqan dalam ayat 63-64

"Dan 'ibadu 'r-rahman itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati, apabila orang jahil menuapa atau mencaci mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata yang baik.. Dan orang-orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri Tahun mereka."

Sesungguhnya ibadah qiyam al layl adalah kegemaran dan kelazatan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.hum.. Sebagaimana Aisyah r.ha berkata "Janganlah kamu meninggalkan ibadah ibadah qiyam al layl, kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkannya.. Apabila Baginda s.a.w sakit atau keletihan, Baginda s.a.w bersolat dalam keadaan duduk."

Al Iman Muslim r.a meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud "Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w telah bersabda : Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah puasa sunat di bulan Muharram.. Solat yang paling utama pula selepas solat-solat fardhu ialah Solat malam (Tahajjud)."

Hadith seterusnya,

"Daripada Ibnu Mas'du r.a Rasulullah s.a.w bersabda, kelebihan solat malam (Tahajjud) berbanding dengan solat pada siang hari ialah seperti kelebihan sedekah yang dibuat secara rahsia dengan sedekah secara terang-terangan".. Riwayat al Tabrani..

Terlalu banyak galakan Rasulullah s.a.w untuk ummah Islam melaksanakan Qiamulail terutamanya di bulan Ramadhan ini.. Amalan mendirikan malam merupakan kecintaan Rasulullah s.a.w.. Sewajibnya kita mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.. Untuk membuktikan ketaqwaan kepada Allah s.w.t..

Saidina Ali k.w.j sendiri menerangkan bahawasanya taqwa itu terbukti dengan melaksanakan amal kehidupan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w selepas takut kepada Allah s.w.t.. Telah jelas bahawasanya Qiamulail merupakan suatu yang digalakkan dan dituntut dalam Islam.. Semuanya adalah untuk membuktikan ketaqwaan kepada Allah s.w.t..

Sebagai akhirnya, sabdaan Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Imam Muslim r.a dan Bukhari r.a "Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda, Sesungguhnya Allah s.w.t akan turun ke langit dunia pada setiap malam khususnya sepertiga malam yang akhir lalu ia berfirman, Sesiapa yang berdoa aku perkenankan dan sesiapa memohon keampunan, aku ampunkan dosanya."..

Sekian, terima kasih..

Tuesday, September 1, 2009

*Selesai fasa pertama


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Lulus ke gagal?..


Segala puji bagi Allah s.w.t yang masih menghulurkan rahmatNya untuk meneruskan kehidupan di bulan Ramadhan ini.. Sekalipun kita merupakan manusia tegar yang sering melanggar perintah dan meninggalkan suruhanNya.. Selawat dan salam ke atas junjungan Muhammad s.a.w.. Tanpa Rasulullah s.a.w, maka tidak bercahayalah ramadhan al mubarak ini..

Selesai sudah kembara di fasa pertama Ramadhan yang dihiasi dengan rahmat Allah s.w.t untuk hambaNya yang bertaqwa.. Natijahnya pada diri kita sebagai seorang hamba Allah s.w.t hanya boleh dinilai oleh diri sendiri.. Kita mengatahui hakikat samada kita bertaqwa kepada Allah s.w.t atau sebaliknya..

Fikir dan runungkan.. Tercapaikah kita akan “outcome base education” yakni ketaqwaan yang disebut oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 183..

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagai mana diwajibkan ke atas umat terdahulu sebelum kamu.. Mudah-mudahan kamu mencapai ketaqwaan”..

Apakah kita semakin mudah dan lazat untuk beribadah kepada Allah s.w.t atau semakin berat dan tawar perasaan kita untuk meneruskan pengajian di Madrasah Tarbiyah Ramadhan pada tahun ini?.

Jawapannya ada di dalam lubuk hati setiap kita sendiri samada nilaian KPI “Key Performance Indexs” untuk ujian tarbiyah Ramadhan di fasa pertama ini mencapai status piawai golongan Mutaqqin ataupun tidak..

Muhasabah di bulan Ramadhan penting untuk kita laksanakan supaya status nilaian taqwa kita benar-benar berkualiti dan bermanfaat.. Dengan harapan, pembinaan taqwa yang benar bernilai dan bermutu.. Sehingga ia mampu dimanfaatkan diluar Ramadhan untuk menjaga diri kita supaya istiqamah mentaati perintah Allah s.w.t..

Kini, kita berada di perjalanan di fasa kedua Ramadhan.. Allah s.w.t menjanjikan pengampunan akan dosa-dosa kepada setiap hambaNya yang bertaqwa.. Agungnya anugerah Allah s.w.t ini kepada kita kerana sememangnya kita amat memerlukan pengampunan daripada Allah s.w.t.. Tika ini, merupakan masa yang terbaik untuk dimanfaatkan untuk mendapat keampunanNya..

Tidak boleh dinafikan sebagai seorang hamba.. Tidak mungkin sekali kita terlepas daripada melakukan dosa.. Pasti akan tiba suatu detik kita terlalai daripada mentaati perindah Allah s.w.t.. Pasti akan terpalit dosa noda pada diri kita..

Dibelenggu dengan masyarakat di akhir zaman kini yang semakin jauh hubungan dengan Allah s.w.t.. Manusia di zaman ini, semakin meminggirkan syariat Allah s.w.t.. Masyarakat kita dijajah dengan suatu ideologi nasionalisme yang telah memusnahkan semangat Ukhuwwah Islamiyyah dan sedikit sebanyak membawa kembali semangat assabiyyah yang mengutamakan perkauman.. Memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sehingga nilaian ukhuwwah Islamiyyah terhapus..

Sedangkan Allah s.w.t menyatakan di dalam Surah Al Hujuraat ayat ke 13 “Wahai sekelian manusia! Dijadikan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, berpuak-puak dan bersuku-suku supaya kamu berkenalan antara satu sama lain.. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah s.w.t ialah mereka yang bertaqwa”..

Allah s.w.t menyatakan mereka yang bertaqwa merupakan mereka yang dikasihi dan paling hampir denganNya.. Mereka yang bertaqwa tidak kira samada mereka berbangsa arab, melayu, cina , india dan sebagainya.. Siapa yang bertaqwa, maka di sisi Allah s.w.t mereka merupakan manusia yang mulia.. Sekalipun, berlabelkan golongan hamba seperti saidina Bilal bin Rabah r.a..


Bulan Ramadhan ini amat bertepatan untuk mengolongkan diri sebagai hamba yang dikasihi Allah s.w.t.. Tiada nikmat yang besar yang dapat menandingi sekiranya kita dipilih sebagai hamba yang dikasihi Allah s.w.t.. Inilah cita-cita tertinggi yang menjadi setiap idaman mereka yang beriman terutamanya para mujahid dan mujahidah yang berjihad menegakkan kalimah Allah s.w.t sekalipun mereka ini dilabel sebagai pengkhianat bangsa dan pelbagai tohmatan daripada manusia..

Sebagai akhirnya, untuk berjaya bermusafir di kembara madrasah Ramadhan ini.. Nilaian kesabaran merupakan elemen yang terpenting perlu diimplankan kepada diri kita.. Kerana inilah, Rasulullah s.a.w menamakan Ramadhan sebagai bulan ramadhan dan sabar itu meliputi tiga aspek utama.. Pertama, sabar mentaati perintah Allah s.w.t.. Kedua, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t dan ketiga sabar menerima taqdir Allah s.w.t yang pedih dan perit..


Sabda Rasulullah s.a.w " Ia (Ramadhan) adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Sekian, terima kasih..


Tuesday, August 25, 2009

*Puasa Ramadhan dan Kelebihannya..

Mai Iftar di Pusat Islam setiap hari.. Free Jer..

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Harapan Ramadhan..


Puasa di bulan Ramadhan meruapakan suatu ibadah yang difardhukan oleh Allah s.w.t ke atas hamba-hambaNya.. Puasa bukan sahaja menjadi wadah untuk penyembuh badan yang mampu mengembalikan kesihatan orang yang berpuasa.. Malah, puasa juga menjadi tumpuan penyucian jiwa dengan mengekang nafsu daripada keterlaluan..


Penghayatan ibadah puasa dapat melahirkan insan yang berjiwa murni dan bersifat terpuji.. Seseorang itu akan menjadi lebih kasih dan belas kasihan kepada mereka yang dhaif dan memerlukan.. Selain perasaan rendah diri atau tawaduk bakal tertanam terhadap makhluk yang lain..


Mereka yang menghayati ibadah bulan Ramadhan juga akan menyedari keagungan dan kehebatan Allah s.w.t serta kebesaran rahmat juga nikmatNya yang dihamparkan kepadanya hingga dia benar menjadi insan yang bertakwa..


Firman Allah s.w.t di dalam surah Al Baqarah ayat 183..


Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertakwa..


Apabila seseorang manusia berpuasa di permulaan Ramadhan, maka Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadhan berikutnya.. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat daripada emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingaa tenggelam matahari..


Maksud sabda Rasulullah s.a.w


"Pada permulaan malam bulan Ramadhan, Allah s.w.t telah memandang kepada seseorang hamba, pasti hamba tersebut tidak akan diseksa selam-lamanya.. Pada setiap bulan Ramadhan, terdapat seribu pembebasan dari api neraka."


Sabda Rasulullah s.a.w


"Bagi setiap sesuatu itu mempunyai pintu dan pintu ibadah ialah puasa."


Rasulullah s.a.w juga mengingatkan, bahawa sesiapa yang membuka bulan Ramadhan dengan melakukan amal kejahatan yang diharamkan oleh Allah s.w.t seperti meminum arak, berzina, mendedahkan aurat, menontut filem yang mendedahkan aurat dan sebagainya, maka Allah s.w.t tidak akan menerimanya pada bulan tersebut.. Malah dia akan dilaknat oleh Allah s.w.t dan malaikat yang berada di tujuh petala langit sehingga Ramadhan yang akan datang.. Sekiranya dia meninggal dunia di antara dua Ramadhan tersebut, maka tiada kebajikan baginya di sisi Allah s.w.t melainkan dengan rahmat Allah s.w.t..


Sebagai akhirnya, renungilah sabda Rasulullah s.a.w..


"Berterusanlah kamu mengetuk pintu syurga." Sayyidatuna Aisyah r.ha berkata, "Dengan apakah wahai Rasulullah s.a.w?.. Sabda Rasulullah s.a.w.. "Dengan berlapar (memperbanyakkan puasa)."


Sekian , terima kasih..


Rujukan Kitab Tazkirah Ramadhan : Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki..