Thursday, October 30, 2008

*Apakah nilaian solat Subuh itu sama seperti sebuah filem @ anime?



Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.

Bahaya Pengabaian Solat dan Natijahnya..

Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah mengsyariatkan seruan solat itu kepada hambanya.. Kerana Allah s.w.t maha mengatahui bahawa nilai ibadah ini sekiranya diamati oleh hambanya mampu membawa kemakmuran di muka bumi..

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah
ayat ke-30

""Sesungguhnya Aku (Allah s.w.t) mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."




Maka, ini selari dengan tujuan hadirnya manusia di alam ini dijadikan sebagai khalifah yang diperintahkan untuk memakmurkannya.. Solat itu menjadi asas modal insan untuk menjana kecemerlangan umat..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,



Namun malang sekali, di zaman yang dicanangkan hadharah islamiah ini.. Nilai kepentingan solat itu semakin hari semakin terkikis di dalam jiwa mukmin.. Semakin ramai mukmin yang seperti tidak mempedulikan dan tidak mempunyai kesedaran yang tinggi akan kepentingan kefardhuan itu..

Ramai yang dikalangan kita telah menjadi mangsa kepada virus 5S (sex, sport, screen, smoke, song) yang telah direncanakan dengan rapinya oleh golongan kuffar yang mempersekutukan Allah s.w.t.. Sehinggakan pengabaian solat itu berlaku.. Ramai manusia mukmin yang tidak solat kerana telah terkesan dengan Virus 5S..

Virus 5S yang pertama, SEX.. Berapa ramai pemuda dan pemudi di zaman ini telah ditiupkan ke dalam jiwanya akan keinginan melakukan sex ataupun zina?.. Cuba kita lihat kes-kes pembuangan bayi yang semakin membimbangkan.. Dan semua ini merupakan kesan pengabaian solat yang utama.. Kesanya, telah lahirlah satu gererasi islam yang rosak serta membantutkan pembangunan islam itu sendiri.. Sedangkan solat itu dapat mencegah perkara keji dan mungkar.. Ulama mentafsirkan bahawa perkara keji itu adalah berkaitan dengan nafsu amarah dengan kata lain penzinaan.. Maka, mereka yang abaikan solat akan menempah tiket untuk melakukan penzinaan tanpa mereka sedar..

Virus 5S kedua, sport.. Dipaksikan minda generasi muda mudi islam di zaman ini dengan pelbagai pertandingan sukan bertaraf dunia seperti piala dunia, sukan olimpik dan sebagainya dengan bertemakan mengeratkan hubungan sesama bangsa, kaum dan negara..
Natijahnya, berapa ramai orang mukmin yang bangun di tengah malam.. Pergi memenuhi ruang-ruang kedai mamak.. Bangunnya mereka bukan untuk melaksanakan sunnah utama Saidina Rasulallah s.a.w yakni menghidupkannya dengan bermunajat kepada Allah s.w.t.. Tetapi, bangun malam untuk menyaksikan pertandingan sukan yang dipenuhi dengan manusia yang ingkar kepada Allah s.w.t dan tidak menutupi auratnya.. Kesannya ramai di kalangan atlet islam yang tidak menutupi auratnya kerna dipengaruhi apa yang dilihatnya..

Virus 5S ketiga, screen.. Banyak sekali filem-filem hebat dan anime-anime menarik dihasilkan oleh golongan kuffar.. Dikaburkan mata orang-orang mukmin dengan provokasi bahawasanya ianya menjadi wadah untuk meringankan tekanan hidup dan sebagai hiburan.. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda "Bahawasanya solat itu adalah hiburanku.." Tapi, malangnya berapa ramai di kalangan kita yang menonton semua bayangan hiburan sehinggakan mereka terpaksa meninggalkan Fardhu Subuhnya.. Ramai yang tergelincir daripada menunaikan kewajibannya.. Lebih malangnya, kita tidak dapat merasai apa yang amat disukai Rasulallah s.a.w iaitu mendirikan solat..

Virus 5S keempat, smoke.. Ketahuilah, berapa banyak duit yang telah dilaburkan oleh umat islam untuk membeli rokok.. Sedangkan peratusan keuntungan wang rokok itu telah disalurkan kepada negara kuffar zionis untuk mengusir saudara kita di bumi Palestin.. Dalam perasan ataupun tidak.. Sebenarnya mereka yang bersama membeli rokok itu telah berkompromi membunuh saudaranya sendiri di bumi palestin.. Ketahui, islam amat menekankan persaudaraan dan memelihara hubungan sesama saudara.. kerana itulah Allah s.w.t berfirman bahawa manusia beriman itu merupakan bersaudara.. Maka, damaikanlah dua saudara kamu yang bertelegah.. Kerana itulah disyariatkan solat berjemaah di masjid.. Natijahnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan yang mantap..

Virus 5S kelima, song,

Lihatlah hari ini, betapa ramai dikalangan kita yang mengagungkan nyanyian dan penyanyinya.. Sehinggakan kita tidak mengenali ulama-ulama islam yang tinggi nilaian ilmunya.. Berapa ramai yang mengenali Syeikh Muhammad Alawi Al Maliki berbanding dengan Shah Rukh Khan yangmendapat gelaran Datuk.. Berapa ramai yang mengenali Syeikh Nukman bin Thabit r.a berbanding Elvis Presly.. Telah kita dilalaikan dengan nyanyian sehinggakan kita tidak lagi mendengar alunan Al Quran dan Zikir mengagungkan Allah s.w.t..

Muslimin dan Muslimat,



Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Al Maa´uun


1. Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
2. Itulah orang yang menghardik anak yatim,
3. dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
4. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat,
5. (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya,

Maksud orang yang lalai dari solatnya ialah mereka yang menunaikan solat bukan pada waktunya.. Sebagai contoh, mereka melakukan solat subuh pada waktu Dhuha.. Melakukan solat Asar dalam waktu solat Magrib.. Dan mereka yang melengah-lengahkan solatnya sehingga hampir tamat waktu solat tersebut..

Kerana itulah, golongan kuffar itu menggunakan serangan Virus 5S lantaran natijahnya amat memberi kesan terhadap perlaksanaan ibadah solat.. Ramai dikalangan kita lewat dan lebih malangnya selalu mengqhadakan solat kerana tertinggal waktunya disebabkan diresapi keseronokan Virus 5S..

Ketahuilah , salah seorang bekas menteri luar israel pernah berkata
"Kita tidak perlu takut kepada Umat Islam.. Selagi mana Saf-saf Subuhnya kosong dan tidak didatangi umat islam.."

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..



Sebagai akhirnya, sedarilah wahai saudaraku.. Tulisan ini cuma untuk mengetuk hati kita supaya membuka aqal yang waras dan menilai semula apa yang telah menjadi sebahagian daripada hidup manusia.. Tidaklah hairan serangan Virus 5S ini berjaya.. kerana ianya benar disusun dengan teliti untuk memusnahkan.. Kerana mereka mengatahui.. Sekiranya islam itu diperangi dengan jasad.. Maka, akan tewaslah mereka.. Kerana penghayatan semangat jihad itu amat tinggi dikala manusia mukmin sedang bersedia membangunkan islam.. Dan apabila dilemahkan dan dilekakan dengan Virus 5S ini.. Akan longlailah kaum mukmin itu dan menjadilah kita seperti mana di sabdakan Orang islam itu umpama buih dilautan..

Bukanlah perubahan yang drastik perlu dilakukan.. Tetapi, cubalah kalian renggan masa berhiburmu dengan bertadabbur al Quran dan Hadith Rasulallah s.a.w.. Jadikanlah solat itu sebagai hiburan.. Kerana hanyalah Tautan Hati kepada Allah s.w.t yang akan menghasilkan cinta dan kasih sayang yang sejati.. Kurangkanlah waktu untuk menghiburkan nafsumu dan gunakanlah ia untuk menambah ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Semoga, dengan itu akan hilanglah penyakit "wahn" yang disabdakan Saidina Muhammad s.a.w.. Iaitu cinta dunia dan takut akan kematian..

Ketahuilah, mereka yang menjadi pendusta agama merupakan mereka yang telah disediakan Hotel-Hotel neraka yang dipenuhi Spa-Spa yang disirami air yang mendidih sehingga mampu memecahkan otak manusia.. Didalamnya disediakan binatang buas sebagai tukang urutnya yang dapat memusnahkan seluruh jasadnya..

Moga kita dijauhi dengan azabnya.. Semoga inayah Allah s.w.t menyanari kehidupan.. InsyAllah..

Sekian, Terima kasih..


Al Fakir ila Allah..

Wednesday, October 29, 2008

*Bagaimana mendapatkan solat yang sempurna?..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


IBADAH SOLAT DAN KEKUATAN UMMAH..



Pengsyariatan kefardhuan solat merupakan nadi kekuatan utama kepada umat islam.. Keistimewaannya dapat dinilai bagaimana ianya disampaikan secara terus kepada Saidina Muhammad ibnu Abdullah Al Mustafa s.a.w tanpa perantaraan Saidina Jibril a.s ketika malam Isra’ Mikraj.. Peristiwa ini mengggambarkan betapa ibadah solat itu merupakan elemen penting kepada umat islam..

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama.. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran.. Ianya juga menjadi medan asas tarbiyah dalam kepimpinan dan siasah islamiah kerana elemen berjemaah yang tersemat dalam kefardhuan solat.. Kerana itulah, Sirah Nubuwwah menunjukkan bagaimana Rasulallah s.a.w dan Para Sahabat r.hum benar-benar meneliti dan menganalisa peranan solat berjemaah dalam kehidupan untuk diaplikasikan dalam urusan individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya pentadbiran Wilayah Madinah Al Munawwarah..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,



Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

“Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.” (Sunan Tirmizi)


MASJID PUSAT PEMBANGUNAN NEGARA MADINAH AL MUMAWWARAH

Namun, persoalan utama yang timbul ialah solat yang bagaimanakah dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?. Bagaimanakah solat dapat membawa perubahan kegelapan jahiliah kepada kilauan cahaya jalan yang lurus..

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati,


Pada asasnya pelaksanaan solat melibatkan dua elemen iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah).. Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. dan sebagainya.. Manakala pergerakan Rohaniah ialah pemusatan atau penyatuan pemikiran dan perasaan kepada Allah s.w.t sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat..

Oleh itu, solat yang dicanang perlulah dilakukan dengan penyatuan dua elemen dengan sempurna.. Barulah ia mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran.. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Apa yang jelas, natijah daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.. ketaatan dan kepatuhan kepada segala perintah Allah s.w.t mulai bertunas di dalam diri.. Lantas, akhlak mulia mulai tumbuh segar menyuburi taman hati.. Akhirnya, lahirlah buah kecintaan dan kelazatan melakukan amal soleh dan kebajikan serta akan berpucuklah penawar kebencian akan maksiat dan kemungkaran.. Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan serta tinggi nilainya.. Kerana ia mampu membawa kita ke jalan yang diredhai Allah s.w.t..


Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 berbunyi:

”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "




Muslimin dan Muslimat,



Bagaimanapun apa yang menghairankan dan menyedihkan kita ialah terdapat juga segelintir kelompok masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. .

Mereka lebih merasai kelazatan menuruti hawa nafsu daripada kelazatan beribadah kepada Allah s.w.t.. Golongan inilah yang digolongkan oleh ulama’ tasawwuf sebagai hamba kepada nafsu dan bukan hamba kepada Allah s.w.t..

Golongan yang sebegini juga amat dimurkai Allah s.w.t sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Sebagai akhirnya, ingin penulis mengingatkan bahawa terdapat natijah yang amat bermanfaat kepada mereka yang sempurna melaksanakan ibadah solat, biasanya mereka juga sempurna melakukan ibadah dan amalan kebajikan yang lain.. Mereka juga mudah untuk menerima ilmu pengatahuan.. Lantas memudahkan urusan pembelajaran mereka.. Oleh itu, marilah kita menjaga solat yang difardhukan ke atas kita, dengan memenuhi aspek jasmani dan rohani.. Laksanakanlah solat yang berkualiti. Dalam usaha ke arah meningkatkan kesempurnaan ibadah solat..

Kata Imam al-Ghazali r.a untuk mendapatkan solat yang sempurna..



Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.

Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.

Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.

Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah s.w.t, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kelima : Sentiasa malu kepada Allah s.w.t, kerana kelemahan dalam beribadah.

Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah s.w.t, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah s.w.t.


“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”



Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..

Sumer : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia..

Saturday, October 25, 2008

*Natijah Kesempurnaan Solat..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..



Sambungan "Khusyuk mencegah keji dan mungkar"..

Solat merupakan rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam.. Solat juga merupakan tiang agama dan ibadah wajib ke atas setiap umat Saidina Muhammad s.a.w melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras.. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah An Nisa' ayat 103

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..

Sebagai seorang islam yang beriman, hendaklah kita melihat, memahami, menganalisis, menilai dan menghalusi sehalus-halusnya kefardhuan solat.. Penghayatan dalam solat sebenarnya mampu melahirkan mukmin yang mampu menggegarkan dunia dengan sinar Cahaya Jalan Yang Lurus.. Lihat, Bagaimana Rasulallah s.a.w berjaya mengubah kegelapan jahiliah kepada sinaran mengtauhidkan Allah s.w.t.. Berapa ramai lahirnya pemuda pemudi islam yang lahir daripada generasi yang mampu melihat hakikat kefardhuan solat..

Sebagai contoh, Usamah Bin Zaid r.a ketika usianya 18 tahun.. Sudah menjadi jeneral tentera sebuah negara Madinah Al Munawwarah.. Saidina Ali Abi Thalib k.w.j.. Ketika usianya 8 tahun sanggup menggadaikan nyawanya demi Rasulallah s.a.w ketika peristiwa hijrah.. 'Aisyah Abu Bakar r.a seorang pakar hadith.. Beliau meriwayatkan banyak hadith ketika usia mudanya.. Cuba musahabah diri kita.. Apa yang ada di dalam diri kita ketika usia muda ini?.. Apa yang kita fahami tentang fitrah kepercayaan kita ini..?



JADIKANLAH SOLAT BERJEMAAH DI MASJID ITU SEBAGAI SEBAHAGIAN KEHIDUPAN

Kerana itulah, Baginda nabi SAW telah mengingatkan kepada umat kesayanganNya sejak 1400 tahun lalu supaya ibu bapa mengajar dan menyuruh anak-anak tentang ibadah sembahyang sejak umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan sembahyang ketika berumur 10 tahun.. Ketahuilah, wajib kita berdoa mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang sesuai dengan Firman Allah:

""Wahai Tuhan kami! kurniakanlah keampunan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku serta kepada orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan pembalasan." Surah Ibrahim ayat 40..



nilah antara proses yang menjadi tunjang kepada perkembangan baitul muslim.. Dan kemudiannya membentuk komuniti islamiah yang melaksanakan perintah Allah s.w.t..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..

Kesempurnaan solat itu mempunyai hubungkait yang amat kuat di dalam kehidupan mukmin.. Keberkesananya mampu meninggalkan kesan-kesan yang bermanfaat dalam keperibadian setiap muslim.. Antaranya,

1. Solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku." Surah Toha ayat 14

Ayat tersebut membawa makna sembahyang merupakan kaedah bagaimana untuk kita sentiasa mengingati dan berdampingan dengan Allah s.w.t.. Sekaligus sembahyang juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah s.w.t.. Atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita.. Ketahuilah, saat bersujud dan ruku' mu itulah saat dekatnya dirimu dapa penciptamu..

2. Solat dapat menghapus dosa.

"Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu sembahyang-sembahyang itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." Hadis riwayat Muslim r.a


Inilah anugerah Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w.. Sesungguhnya kita merupakan manusia awam yang sentiasa bergelumang dengan dosa dan noda.. Di tambah pula dengan kejahilan yang bertapak di jiwa kita.. Lantaran itulah bersyukurlah dengan nikmat kurniaan Allah s.w.t.. Dan beruntunglah mereka yang masih digerakkan untuk menunaikan solat dan amat rugilah mereka yang dilekakan dari melaksanakannya..

3. Solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Solat yang dikerjakan dengan hadirnya batin di dalam zahirnya.. Khusyuk dan menepati segala rukun-rukunnya boleh mencegah orang yang melakukannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.. Ketahuilah, apabila tunduknya dirimu pada Allah s.w.t.. Mata hatimu menjadi terang dan tidak dihijab dengan dunia.. Kerana itulah meraka yang telah sampai dalam maqam Musyahadah.. Meraka dapat melihat hakikat kebenaran dengan mata hatinya..

"…. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." Surah al-Ankabut ayat 45..

4. Solat dapat memberi barakah hidup dan berbahagia kehidupan.

Kehidupan orang yang memelihara solat jauh berbeza dengan orang yang meninggalkannya.. Ini Jelas kita melihat orang yang memelihara solat kehidupannya dipenuhi dengan keberkatan dan kebahagiaan.. Walau bagaimana musibah yang melanda.. Pasti ada jalan penyelesaian yang akan di tunjukkan kepada orang mukmin.. Walau bagaimana sibuknya seseorang itu.. Pasti akan ada kemudahan untuknya..

"Sesungguhnya berbahagia \ berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." ayat Surah al-Mukminun : 1-2





Perlu diingatkan, bahawa solat adalah ibadah yang diterima oleh Baginda nabi s.a.w secara langsung daripada Allah s.w.t, ketika nabi s.a.w mengadap Allah s.w.t di “Sidratul Muntaha” dalam peristiwa Isra’ Mikraj adalah berbeza dengan ibadah lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril AS pembawa wahyu. Ini adalah satu kenyataan bahawa ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah s.w.t..


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..

Selari dengan zaman sains dan teknologi ini.. Kesan melaksanakan solat telah dikaji dan dianalisis.. Dari segi perubatan dan kesihatan.. Solat yang khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan menjadi sihat serta cergas.. Kekuatan rohaniah dapat menstabilkan jasmani yang berserabut dan tertekan.. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w menunjukkan sunnahnya ketika berhadapan masalah, akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati dan mnedamaikan jiwa.. Ketahuilah sebagai seorang siswa ataupun siswi.. Amat bertepatan sekiranya solat ini menjadi amalan kepada kita dalam proses pembelajaran.. Kerana ianya dapat memberikan kemudahan untuk memahami sesuatu perkara itu..




Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..

Sebagai peringatan bersama, sedarilah golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat.. Mereka merupakan golongan yang diancam oleh Allah s.w.t

Dalam surah Maryam ayat 59, Allah s.w.t berfirman : "Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu maka kelak mereka akan menemui kesesatan."

Abdullah bin Abbas r.a menerangkan makna mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali tetapi melewatkan dari waktunya.. Imam Said Ibni al-Musayyib r.a berpendapat iaitu mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu Maghrib, solat Maghrib di dalam waktu Isyak dan solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh serta solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit.. Maka, sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama "Ghaiy" di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik.. Jika bersolat fardhu di luar waktu sudah begini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersolat fardhu sama sekali.

Justeru melaksanakan solat fardhu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Dari Abi Amr asy-Syibani katanya, Abdullah bin Mas'ud r.a pernah bertanya kepada Nabi s.a.w apakah amalan yang paling Allah sukai?. Nabi s.a.w menjawab: Solat tepat pada waktunya. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda s.a.w menjawab: Melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan jihad pada Agama Allah s.w.t." Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Sebagai akhirnya, renungilah firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Kausar ayat 1-3

"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..

Thursday, October 23, 2008

*Khusyuk mencegah keji dan mungkar..


KHUSYUKLAH DI DALAM SOLATMU

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.

Solat dan Keberkesanannya..


Segala puji bagi Allah s.w.t yang mengsyariatkan kefardhuan solat kepada hambanya yang mengharapkan kilauan Cahaya Jalan Yang Lurus.. Hanyalah mereka yang beriman akan melaksanakan seruan Allah s.w.t yang disampaikan oleh Saidina Muhammad Ibnu Abdullah s.w.t

Firman Allah s.w.t di dalam Surah An Nisa' ayat 103 "Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. "


Sesungguhnya solat merupakan anugerah agung yang dapat mengkhafarahkan segala dosa-dosa yang dilakukan sebagaimana yang disabda oleh Saidina Muhammad Al Musthafa s.a.w

"dengan melakukan solat lima waktu Allah s.w.t akan menghapuskan dosa-dosa." al Bukhari r.a

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Renungilah kata-kata Syeikh Ibnu 'Atoillah Al Sakandari r.a
" Tidaklah semua orang yang bersolat itu mendirikan solat." .. Berapa ramai manusia yang melaksanakan solatnya.. Tetapi, natijahnya hanyalah penat dan lelah keletihan..



Cuba kalian renungkan beberapa persoalan yang dilontarkan..

1. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi jiwanya masih lagi terpaut untuk melakukan perkara keji dan mungkar?..

2. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi dirinya masih lagi seronok melihat dan menatap aurat wanita yang diharamkan daripada pandangannya..?

3. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi masih lagi lidahnya mengeji dan mengumpat manusia..?

4. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi masih lagi jiwanya gembira lalai dalam percintaan yang menjerumus ke lembah kemaksiatan?

5. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi masih lagi asyik mendengar alunan memuji manusia daripada alunan memuji pencipta manusia itu?

6. Mengapa ramai orang yang solat.. Tetapi masih jiwanya terikat dengan riba' dan rasuah?

7. Mengapa ramai orang yang solat.. Tetapi masih lagi ada hasad dan dengki di jiwanya?

8. Mengapa ramai orang yang solat.. Tetapi dirinya tidak mahu melihat sinar islam disekelilingnya?.. Dilontarkan usaha mewujudkan pengajian islam di institusinya.. Tetapi sebagai muslim sendiri dia menetang syariat islam itu untuk berkembang..

9. Mengapa ramai orang yang solat.. Keluh kesah dirinya ketika pengajian agama dijalankan.. Tetapi gembira ketika pengajian kemaksiatan dan menyesatkan..?

10. Berapa ramai orang yang solat.. Tetapi enggan dirinya untuk berjemaah ke masjid?.. Namun untuk melunaskan nafsunya untuk membeli belah dan bersuka ria.. Tempat yang berbatu sanggup dilangkahinya untuk melunaskan nafsunya..

Ramai melakukan solat dalam keadaan dirinya masih lagi memikirkan perihal dunia yang melalaikan dirinya..

Sedangkan Allah s.w.t berfirman

"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." Surah An 'Ankabuut ayat 45..



Sewajibnya manusia yang beriman yang melaksanakan kefardhuan solat itu dapat menahan diri daripada kemaksiatan dan kemungkaran.. Lantaran Allah s.w.t telah menggariskan bahawasanya solat itu dapat mencegah manusia daripada terus melazimi dosa noda yang dilakukan.. Namun, sekiranya diratapi disekeliling kita perkara yang sebaliknya berlaku.. Mengapa perkara ini berlaku..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Tidakkah kalian pernah memuhasabah diri sendiri.. Mengapa kita yang melaksanakan tuntutan solat ini tetap dipagari dengan noda.. Mengapa kita terus berkelana di jalan gelap yang dibasahi dengan kelembapan kefasikan.. Kita tidak mencapai apa yang di firmankan Allah s.w.t.. Sedangkan kita meyakini keesaan Allah s.w.t dan menyakini kebenaran Muhammad s.a.w..

Ketahuilah, ramai manusia yang bersolat.. Tetapi, mereka tidak meneliti solatnya.. Ramai manusia yang solat..Tetapi, dia tidak memahami apa-apa yang dilafazkannya.. Ramai mereka yang bersolat yang tidak tahu apa tujuan mereka melaksanakannya.. Ramai yang melaksanakannya umpama melepaskan batuk di tangga.. Ramai yang bersolat kerana malu melihat jirannya atau rakannya bersolat.. Ramai yang melaksanakannya hanya kerana manusia.. Ingin melihat dirinya seorang yang alim.. Ingin menambat hati manusia lain dan sebagainya..


Bahkan ada juga manusia yang melaksanakan solat hanya kerana fadhilatnya.. Bukan kerana redha Allah s.w.t.. Ada pula yang menyempurkannya hanya apabila cintanya ditolak manusia .. Tidak kurang juga manusia yang hanya menyempurnakan solat secara berjemaah hanya kerana ingin mengejar kenikmatan dunia.. Ketika mana dirinya menginginkan bantuan Allah s.w.t ketika itulah dia mencari Allah s.w.t.. Ketika mana dirinya menghampiri waktu peperiksaan katika itulah dia menjadi jaguh jemaah yang paling istiqamah..

Sedarilah, kerana perkara-perkara inilah antara punca kenapa kemaksiatan dan kemungkaran itu terus berlaku walaupun kita menunaikan solat..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Palingkanlah hatimu daripada sesuatu yang menjadi punca untuk kamu melaksanakan solat.. Biarlah hanya kerana Allah s.w.t menjadi musabab kita melaksanakan perintah Allah s.w.t.. Ketahuilah, sesungguhnya ibadah solat itu merupakan anugerah Allah s.w.t kepada kalian.. Kerana itulah ketika mana muezzin melaungkan "mari menuju solat.." Kalian menjawab "aku tidak mampu melakukan.. Melainkan dengan keizinan Allah s.w.t." .. Ianya menjadi wasilah untuk proses pentarbiyahan membentuk sifat syukur di dalam diri kalian.. Namun, malangnya hanya segelintir manusia yang dapat melihat hatikat kefarduan solat itu..

Hanyalah mereka yang khusyuk di dalam solat dapat merasai kelazatan terhindar dirinya daripada perkara keji dan mungkar.. Sedarilah, khusyuk ini hanya akan hadir apabila kalian melaksanakan solat itu hanya semata kerana Allah s.w.t.. Kerana itulah Saidina Abbas r.a pasti menitiskan airmatanya ketika mana laungan azan berkumandang.. Kerana dirinya mengatahui akan tiba waktunya untuk bersama Allah s.w.t..

Khusyuk itu hanya hadir apabila kalian merasai kegembiraan dan penghadapan dengan hati kepada Allah s.w.t.. Kemudian, akan hadir pesaraan merasakan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah s.w.t.. Seterusnya, lahirlah kegerunan, rendah diri dan hina diri di hadapan Allah s.w.t.. Ketika ini, tutuplah ruang amarah nafsu dan pujukan bisikan syaiton untuk menipu manusia.. Maka, terhindarlah kalian dari dosa dan noda..

Ketahuilah, sesungguhnya solat yang tidak khusyuk itu batal di sisi ahli sufi dan tidak diterima di sisi ulama' zahir..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Khusyuk itu hanya dapat dibentuk apabila terbitnya kilauan zuhud di hati kalian.. Inilah ubat yang terbaik dan berkualiti untuk menyembuhkan penyakit solat ini.. Kerana mustahil jika ada di sisimu ada anak perempuan iblis, bapanya tidak menziarahi anaknya.. Pasti kamu tidak terlepas daripada pelbagai lintasan selagi mana ia berada disisimu, dan ianya mengikut banyak atau sedikitnya dihatimu.. Maka, bagaimana zuhud itu dapat menziarahi dasar hatimu..

Ketahui, Syeikh Abdul Qadir Jailani r.a merupakan seorang zuhud.. Tetapi, sepatunya sahaja disinari kilauan permata dan berlian.. Bukanlah dinamakan zuhud mereka yang hidup melarat.. Tetapi dihatinya ada keinginan untuk bermewah dan mengimpikan dunia.. Zuhud itu dapat diukur apabila susah dan senang itu sama bagimu.. Pujian dan celaan manusia tiada apa untukmu.. Bagimu hanya Allah s.w.t dan kekasihnya s.a.w.. Zuhud itu menjadikan dunia itu di tangan manusia.. Tetapi, bukan menjadikan dunia itu di dalam hati.. Walau segunung emas milikmu.. Tetap ianya tidak menghijab hatimu melihat hakikat keindahan sebenarnya..

Lihat Saidina Umar Al Khattab r.a.. Walau dirinya mengusai hampir keseluruhan bumi arab.. Namun, hatinya tidak terpaut pada kekuasaanya dan kekayaan khazanah tamadunnya.. Lihat dimana katilnya.. Lihat dimana kediamannya.. Seorang pemerintah negara.. Tetapi, hanya tidur beralaskan pelepas tamar..


DENGAN MENGINGATI ALLAH S.W.T.. HATI HATI AKAN MENJADI TENANG


Selain itu, antara yang membantu khusyuk ialah dengan banyak mengingati Allah s.w.t dengan hati dan juga lidah serta sentiasa berada dalam keadaan suci kerana zahir itu amat berkaitan dengan batin..


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Sebagai akhirnya, seruan ini merupakan peringatan untuk diriku.. Hanya diriku merasakan ianya merupakan perkara yang perlu dikongsikan.. Kerana ianya merupakan kefardhuan yang sewajibnya disempurnakan oleh semua saudara seislamku.. 

"Berilah peringatan sesama orang yang beriman.. Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang orang yang beriman.."

Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..

Saturday, October 18, 2008

*Memelihara Ukhuwwah Islamiah..


INDAHNYA UKHUWWAH ISLAMIAH


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

KEUTAMAAN MEMELIHARA PERSAUDARAAN..


Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah menganugerahkan agama islam sebagai sajian kepada fitrah manusia.. Manusia itu adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t yang dibekalkan dengan fitrah dan fitrah yang terpenting dalam diri manusia ialah fitrah beragama.. Tidak dapat dinafikan, sesungguhnya manusia itu mempunyai suatu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia mengikut apa yang terbaik untuk kepentingan manusia itu sendiri dan inilah yang ditakrifkan sebagai fitrah..

Oleh yang demikian, sebagai agama yang memenuhi fitrah manusia.. Islam mengajak umat untuk hidup secara bermasyarakat ataupun berjemaah.. Manusia itu tidak mungkin dapat hidup sendirian.. Fitrah manusia itu menginginkan saling berkasih sayang dan hidup saling memerlukan dalam usaha mencapai ketakwaan kepada Allah s.w.t..

Allah s.w.t mengajar hambaNya melalui Surah Al Hujuraat ayat 13..

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.."


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Dalam hidup berjemaah.. Islam memberikan penekanan yang amat penting terhadap persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya supaya sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwwah kerana ukhuwwah merupakan asas kekuatan bagi umat Islam.. Selain ia juga meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap muslim.. Sebagai umat Islam, kita wajiblah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat berkasih sayang terhadap sesama manusia khususnya umat Islam dan semua mahkluk ciptaan Allah s.w.t.. Ketahuilah, dengan hadirnya sifat seperti berkasih sayang dan rasa saling percaya mempercayai pada sesama manusia, ianya merintis landasan ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama.


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Persaudaraan yang lahir daripada tautan aqidah yang mentauhidkan Allah s.w.t serta rela berkorban melakukan apa sahaja kebaikan untuk orang lain atau saudara seagama merupakan setinggi-tinggi darjat persaudaraan..

Mari kita menyelusuri sirah Cahaya Jalan Yang Lurus.. Bagaimana cantiknya Saidina Muhammad ibnu Abdullah s.a.w dan Para Sahabat r.anhum mengikat tautan hati mereka melalui persaudaraan diantara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang merupakan penduduk peri bumi di awal permulaan hijrah Baginda Rasullullah s.a.w. sehingga dapat melahirkan umat yang sanggup berkorban demi untuk suudara seagama dan memberi kekuatan kepada umat Islam. Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr ayat 9 :

"Bermaksud : " dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya ".

Melalui firman Allah s.w.t ini, jelaslah bahawa melalui persaudaran sahajalah, dapat melahirkan suasana saling bekerjasama dan sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan juga tanggungjawab terhadap Allah..


APABILA UKHUWWAH TERBENTUK KESUSAHAN SAMA DIHARUNGI..




Saudara seislamku semua..

Ketahuilah, bahawasanya mereka yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan akan dilimpahkan keutamaan oleh Allah s.w.t.. Di antaranya..

PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.
Sabda Rasullullah s.a.w. :

" Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (dimanakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan-Ku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka didalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku ) "
( Hadis riwayat Muslim )

KEDUA : Mereka Merasakan Manisnya Iman .

Sabda Rasullullah s.a.w. :
" sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . "
( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )


KETIGA : Dosa-Dosa Mereka Diampuni Oleh Allah

Sabda Rasullullah s.a.w.:

" Daripada al-Bara' r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada diantara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah ".
( riwayat Abu Daud dan Tarmizi )


Muslimin dan Muslimat..

Malangnya umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat mengelirukan iaitu diantara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tatapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri. Semakin banyak seruan yang menyeru kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam, dimana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir ?.

Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah menfitnah, tuduh menuduh, hasut menghasut dan benci membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. didalam surah Ali – Imran 103 ? :

" dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu,) lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam,) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga ) demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya ".


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Sebagai akhirnya, marilah kita kembali membina hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuanya dan mampu mengahadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam. Maka dengan hal yang sedemikian, dapatlah kita umat Islam membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai persoalan semasa yang berlaku.

Diantara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk memantapkan persaudaraan ialah :

Satu, memberi Salam Apabila Bertemu Antara Satu Sama Lain.

" Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. : " demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih saying, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih saying ? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami " .

( Hadis riwayat Muslim )

Keduanya, sentiasa berhubung untuk bertanya khabar samada dengan bertemu secara langsung atau dengan apa sahaja cara perhubungan yang ada pada zaman yang serba canggih dan moden pada hari ini. Sebagai Yahoo Messenger..

Ketiga, bantu membantu antara satu sama lain.

keempat, malazimkan ziarah menziarahi sebagai satu amalan hidup .

Akhirnya.. "Kita adalah bangsa yang dimuliakan dengan islam.. Maka, janganlah kalian mencari selain daripada Islam.. Kelak, kalian akan dihina dengan apa yang kalian kejari.".. Dan ingatlah akan peringatan Allah s.w.t dalam surah Hujuraat ayat 11 dan 12..

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri[1409] dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman[1410] dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.."

Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..











Thursday, October 16, 2008

*Mengenal Hakikat Taubat..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

Taubat Nasuha dan Hamba..


Segala puji bagi Allah s.w.t yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada hambaNya.. Maha Pemurahnya Allah s.w.t.. Agungnya kelembutanNya.. Diciptakan apa jua di alam ini adalah untuk manfaat semua hambaNya.. Bermulanya dari langit, di dasar lauatan dan seluruh permukaan bumi ini.. Segala menpunyai manfaat kepada hambaNya.. Semuanya dirangka dengan cantik supaya manusia dapat menjalankan peranan sebagai Khalifah di muka bumi..

Firman Allah s.w.t dalam Surah An Nahl ayat 81..

"Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).."

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Sepanjang menyelusuri denai kehidupan ini.. Pasti tidak akan terlepas daripada terjatuh melakukan dosa.. Pasti berbagai halangan bakal menyulitkan perjalanan.. Pasti banyak rimbunan amarah yang memberangsangkan nafsu untuk berhenti mengetuk pintu noda.. Bagaimana soleh seseorang hamba itu.. Walaubagaimana zuhud seseorang itu.. Pasti sesekali dia terpanggil pada lambaian nafsunya.. Pasti wujud setitik noda yang akan dilakukan sepanjang kehidupannya.. Apatah lagi bagi kita, manusia yang terikat dengan nafsu yang meronta menginginkan keindahan palsu dinia fana ini.. Sebagai makhluk yang lemah, tidak maksum seperti Saidina Muhammad ibnu Abdullah s.a.w yang terpelihara daripada melakukan dosa..

Kerana itu, sebagai hamba yang dhoif dan jahil dalam mengenal hakikat kebenaran.. Wajib ke atas kita semua untuk sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t sepanjang kehidupan.. Lebih lagi dalam keadaan zaman ini.. Kata Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki.. "Zaman ini, Zaman manusia dituntut dan di paksa untuk melakukan dosa.." Maka, tidak seharusnya kita berhenti daripada bertaubat kepada Allah s.w.t.. Kerana orang yang beriman itu merupakan mereka yang sentiasa mengharapkan keampunan Allah s.w.t..

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah At Tahrim ayat 8..

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah (syurga) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Sedarilah, sebagai manusia yang mengakui keesaan Allah s.w.t dan membenarkan syariat yang dihamparkan oleh Saidina Muhammad s.a.w.. Wajiblah ke atas diri kita untuk menzahirkan keimanan itu dengan melaksanakan firman Allah s.w.t.. Kerana iman itu terhasil bermulanya dengan keyakinan di dalam hati, kemudiannya dilisankan dengan lisan dan seterusnya diaplikasikan melalui zahirnya.. Kerana itulah orang yang beiman merupakan mereka yang sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Apabila ditanya kepada Al Imam Syafiee r.a "Apakah perkara yang wajib dan lebih wajib. Apakah perkara yang ajaib dan lebih ajaib dan Apakah perkara yang hampir dan perkara yang lebih hampir.?"

Maka, kata Al Imam Syafiee r.a.. "Yang wajib itu bertaubat dan yang lebih wajib ialah meninggalkan dosa.. yang ajaib itu apa yang berada di atas dunia dan lebih ajaib ialah orang yang tidak mempedulikan apa yang berada di dunia.. yang hampir itu ialah setiap hajat dan yang paling hampir ialah kematian." Ketahuilah sabda Saidina Muhammad s.a.w "penyesalan itu merupakan taubat.
"


KESALILAH SEGALA DOSA YANG PERNAH DILAKUKAN


Sedarilah, marakan gerak hati dengan menyesali apa jua ketelanjuran yang pernah dilakukan.. kemudian, berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Penerima Taubat agar di ampunkan kesilapan lalu.. Dan akhirnya, tekadkan pada dirimu untuk tidak melakukan dosa noda yang pernah dilakukan.. Namun sekiranya, lakumu bersangkutan dengan hubungan sesama insan.. Maka, rendahkan egomu dan tingkahmu.. Pergilah memohon keampunan atas kesalahanmu.. Selagi mana masih bernyawa insan itu.. Sekiranya dia telah kembali ke rahmat Allah s.w.t.. Yakinlah, bahawasanya keampunan itu telah dia hulurkan padamu.. Kerana orang yang beriman pasti memaafkan saudaranya kerana.. Orang beriman itu merupakan bersaudara.. Kerana itulah, kita dituntut menenangkan dua saudara ita yang bertelagah..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Renungkan, ramai di kalangan manusia yang sering melafazkan kalimah istigfar selapas solatnya.. Mereka sering memohon keampunan kepada Allah s.w.t.. Tetapi, dalam masa lafaz taubat itu dilisankan.. Masih lagi pada masa yang sama.. Hati itu tetap menginginkan kenikmatan maksiat yang sering dilakukan.. Hatinya masih terpaut pada dosa noda silamnya.. Walau dilidahnya dialunkan kalimah taubat kepada Allah s.w.t.. Dia menginginkan keampunan Allah s.w.t.. Namun, dia tetap menitiskan titik hitam pada hatinya.. Kerana itulah ramai mereka yang bersolat.. Tetapi tidak dapat mencapai solat yang dapat mencegah daripada perkara keji dan mungkar..

Ramai juga manusia yang meninggalkan dosa bukan kerana penyesalannya.. Tetapi kerana tiada lagi kekuatan untuk melakukan maksiat yang selama ini menjadi amalnya.. Sebagai contoh, seorang yang selalu berzina.. Dia tidak lagi melakukan zina kerana kesihatannya telah terganggu.. Seseorang yang suka mencuri.. Dia tidak melakukannya kerana tiada lagi kudrat untuk melakukannya..

Muslimin dan Muslimat,



Ketahuilah, hakikat taubat itu hanya terbit tika seseorang itu dapat merasai kemanisan taubat nasuha.. Kelazatan taubat nasuha dapat dinilai.. Ketika mana masih mampu untuk melakukan dosa noda yang sering dilakukan.. Tetapi, kerana manisnya anugerah taufiq dan hidayah Allah s.w.t.. Maka, Lenyap bayangan keindahan dosa yang dikejar.. Ketahuilah, penyesalan dan keazaman untuk tidak mengulangi detik hitam silam itulah hakikat taubat yang sebenar.. Kerana kita mengatahui keadilan Allah s.w.t.. Hanyalah taubat nasuha itu akan diterima Allah s.w.t..

Sebagai Akhirnya, ketahuilah.. Tuntutan melaksanakan taubat itu merupakan sebahagian sunnah Rasulallah s.a.w.. Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

”Wahai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepadnya seratus kali setiap hari.” ..


Sekian, terima kasih..


Al Fakir Ila Allah..

Monday, October 13, 2008

*BOMOH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM..




Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.



Amalan Bomoh dan Dukun..


Segala puji bagi Allah s.w.t yang menjadikan segala nikmat di alam ini untuk manusia.. Manusia itu merupakan makhluk telah ditaklifkan sebagai khalifah di muka bumi ini.. Maka, seruan ketakwaan kepada Allah s.w.t sewajibnya menjadi amanah yang dipikul oleh setiap manusia yang mengakui kalimah syahadah dan seterusnya berusaha menegakkan kalimah "Tiada tuhan melainkan Allah s.w.t".. Ketahuilah dalam merencanakan perjuangan ini Allah s.w.t mengajarkan kepada para Hambanya di dalam Surah al Fatihah ayat kelima ..

"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.. "

Sesungguhnya Allah s.w.t mengatahui fitrah manusia yang menginginkan bertuhan dan menginginkan tempat pergantungan sebagai sandarannya.. Firman Allah s.w.t dalam surah ar Rum ayat 30..

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.."

Saudara Saudari yang dikasihi,

Malangnya, sering kali manusia yang diberikan waras aqal itu tidak mampu memikirkan apa yang dianugerahkan melalui rahmat yang agung Saidina Muhammad s.a.w.. Mereka apabila ditimpa musibah atau bencana.. Sering kali tidak merujuk kepada petunjuk Allah s.w.t.. Mereka sering kali menyakini dengan selain daripada Allah s.w.t.. Kerana itulah peringatan daripada Rasulallah s.a.w melalui sabda Baginda s.a.w

" barangsiapa yang mendatangi bomoh atau dukun untuk bertanyakan sesuatu kepadanya. lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya. maka tidak akan diterima 40 hari solatnya."

dalam riwayat lain mengatakan sabda Rasulallah s.a.w

" barangsiapa yang berjumpa dengan bomoh ataupun dukun . lalu dia apa yang dikatakannya. maka keluarlah dia terhadap apa yang diajarkan Muhammad s.a.w."..

Ketahuilah, bahawa mereka yang mempercayai dukun ataupun bomoh dapat dikelaskan dalam golongan yang syirik kepada Allah s.w.t..

Saudara Saudari yang dikasih sekelian,

Tidak dinafikan di zaman Saidina Rasulallah s.a.w diajarkan oleh Baginda s.a.w sendiri menggunakan ayat-ayat al Quran sebagai penawar penyembuh pelbagai penyakit..

Adapun Para Sahabat r.anhum mengikuti ajaran Rasulallah s.a.w dalam kaedah perubatan islam.. Namun perlu diingatkan, tidak pernah sesekali Para Sahabat r.anhum meminta bantuan jin dalam membantu mereka menyembuhkan sesuatu penyakit.

Hatta, Saidina Muhammad s.a.w tidak meminta pertolongon daripada jin dalam sesuatu urusan.. Sehinggakan dalam perang Badar hanya malaikat menjadi bantuan daripada Allah s.w.t kepada mujahid islam ketika itu dan bukannya jin mahupun syaiton laknatullah..

Saudara Saudari yang dikasih sekelian,

Malangnya, sebaliknya dalam masyarakat melayu sudah menjadi lumrah pembohongan sebahagian manusia yang menggunakan kalimah Allah s.w.t seperti Basmallah dan selawat kepada Baginda s.a.w bertujuan mengkaburi mata masyarakat..

Mereka yang tidak bertanggungjawab ini telah mencampurkan sesuatu yang mulia dengan perkara - perkara syirik yang mungkar..

Para bomoh ini juga meminta pertolongan daripada jin dan syaiton laknatullah dalam urusan mereka.. dan ini adalah amat bertentang dengan syariat yang di bawa oleh Saidina Muhammad s.a.w.. kerana haram meminta pertolongan daripada jin..

Antara ciri - ciri bohoh dan dukun yang wajib dijauhi..

Pertama, Mereka itu menggunakan ramalan dalam kaedah perubatan mereka..

Sebagai ingatan : adapun para doktor meramal dalam sesuatu penyakit kepada pesakitnya itu adalah diharuskan kerana mereka berdasarkan ilmu yang di ilhamkan oleh Allah s.w.t.. pun begitu ramalan itu bukanlah sandaran yang sebenar ianya tertakluk kepada ketentuan Allah s.w.t..

Kedua, Mereka itu juga menggunakan amalan sihir dalam perubatan mereka..

Sebagai contoh, membakar kemeyan semasa melakukan perubatannya.. Hakikatnya asap itu adalah makanan jin dan membakar kemeyan itu adalah usaha bomoh itu dalam meminta tolong kepada jin itu sendiri..

Ketiga, Mereka juga menggunakan jampi - jampi tertentu..

Peringatan : Terdapat juga dari kalangan mereka yang mencampuradukkan kalimah taryibah dalam jampi mereka..

Keempat, kebiasaannya mereka memakai pakaian serba hitam..

Peringatan : Hitam itu lambang warna kepada syaitan dan jin..

Kelima, mereka itu menurun.. lantaran kerana Qarin seseorang itu telah memasiki badan bomoh itu tadi..

Keeman, mewujudkan amalan pemutus ubat.. kononya penyakit akan kembali sekiranya tidak melakukan amalan ini..

Ketujuh, melakukan sesuatu pembedahan tanpa mengunakan kaedah fizikal biasanya..

Saudara dan Saudari sekelian,

Sebagai akhirnya, diingatan terdapat keteria yang perlu digarisi dalam urusan perubatan seperti menggunakan ayat -ayat Allah s.w.t sepernuhnya dan memiliki kesempurnaan dalam urusannya.. Kerana jangan kita menjadi manusia yang beriman yang membawa firnah dalam agama.. Kerana ianya dapat memusnahkan kecantikan islam yang sebenarnya.. Ketahuilah islam itu indah.. Sesungguhnya umatnya yang menghijabkan keindahannya.. Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..



Sumber : Darul Syifa' .. USTAZ HISYAMUDDIN .. penceramah Masjid Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus..

Sunday, October 12, 2008

*Perjalanan Cahaya Jalan Yang Lurus..

AKU MASIH DALAM PERJALANAN,
PENGEMBARAAN YANG TIDAK AKU TAHU MANA KESUDAHAN,
YANG PASTI AKU HARUS MERENCANA HALUAN,
AGAR IA TIDAK MENYIMPANG DARI HALUAN FIRDAUSI,
PERJALANAN CAHAYA JALAN YANG LURUS,

NAMUN PERJALANAN INI TIDAK MUDAH,
BANYAK RIMBUNAN NAFSU YANG MELAMBAIKU,
MEMANGGILKU KE PEPOHON CINTA YANG FANA,
DIHIASI PUCUK-PUCUK MUDA RIMBUNAN HIASAN DUNIA,
MEMBUATKAN PERNAH JUA AKU CUBA MENGHAMPIRI POHON FANA ITU,
KERNA INDAH IA MERIMBUN PADA PANDANGAN MATAKU,
WALAU AKU TAHU SEBENARNYA PAHIT HAKIKATNYA,
TETAPI ZAHIRNYA ITU MENGKABURI IMANKU,
TERLAKAR IBARAT BUAH YANG RANUM,

NAMUN JIKA DI RENUNGI KEMBALI,
SEMUANYA BUKAN HELAH UNTUKKU HANYUT PADA PERJALANAN,
AKU BUKAN PERINTIS PERJALANAN INI,
KERNA TELAH HADIR AMEER YANG MENGEMUDI PERJALANAN INI,
MUHAMMAD S.A.W LENGKAP MENUNJUKKAN ARAH TUJUAN,
CAHAYA KALAM WAHYU ITU TELAH MENJADI PENYULUH JALANAN,

SEWAJIBNYA AKU TIBA DI DESTINASI FIRDAUSI,
KERNA AKU JUGA SEPERTI KEKASIH TUHAN,
HABIBULLAH RASULLULLAH MUHAMMAD S.A.W,

MAKA,
MENGAPA PULA AKU PERLU MENGELUH ?,
MENGAPA PULA AKU PERLU RESAH GELISAH?,

AH,
INILAH BICARA SERING MENGHANTU,
SUKAR SEKALI UNTUK AKU MEMIKIRKANNYA,

BIARLAH,
MUNGKIN HIKMAH DARI ILAHI UNTUKKU,
MENGAPA SERING AKU FIKIRKAN PERJALANAN INI,
KELAK PASTI AKU AKAN KETAHUI,
PASTI SEKALI, INSYALLAH,

DI BENAK JIWAKU TERBIT BISIKAN KECILKU,
YA ALLAH YA TUHANKU,
HARAPANKU HANYA PADAMU,
BISA KIRANYA AKU TEGAR PADA NAFSUKU,
KERNA PERJALANAN INILAH ARAH PERTEMUANKU DENGANMU DI MASYAR KELAK,
INGIN SEKALI PERTEMUANKU DENGANMU DI HUJUNG DESTINASI MENJADI PERTEMUAN PENUH INDAH PERSONA BERSAMA KEKASIHKU..

AL FAKIR ILA ALLAH..

Saturday, October 11, 2008

*Kepentingan Penjanaan Islam dan Pendokongnya..


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.

Perjuangan dan Jema'ah Islamiah..


Segala puji Allah s.w.t perencana kehidupan hambaNya dengan penuh hikmah.. Setiap sesuatu itu dihimpunkan dengan petunjuk Cahaya Jalan Yang Lurus yang menjadi panduan kepada hambaNya untuk menongkah arus kehidupan.. Bertepatan dengan Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Baqarah ayat 21


"Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.."


Ketakwaan Kepada Allah s.w.t merupakan objektif ataupun matlamat penciptaan manusia.. Takwa merupakan modal untuk manusia memasuki pintu keredhaan Allah s.w.t dan seterusnya menyelusuri perjalanan kehidupan dengan rahmat Allah s.w.t.. Tidak kiralah siapapun manusia itu.. Apakah pangkat dan kedudukannya disisi manusia?..


Lebih-lebih lagi pendokong penjanaan Harakah Islamiyyah ini perlu memahami konsep ketakwaan ini.. Samada mereka ditaklifkan sebagai pemacu ekonomi, pemacu siyasah atau apa sahaja.. Segala usaha atau perancangan untuk mendokong Islam itu perlulah bermula dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,


Perjuangan islam merupakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh sekelian Para Nabi dan Rasul.. Mereka diperintahkan supaya melorongkan manusia ke jalan ketakwaan.. Seiring dengan matlamat penciptaan manusia sebagai khalifah yang bertakwa di 'alam ini..


Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Baqarah ayat 30..

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (manusia) di muka bumi."


Telah jelas kepada kita bahawa takwa merupakan tujuan utama kewujudan manusia.. Manakala Para Rasul dan Nabi merupakan penyeru kepada ketakwaan.. Persoalannya, selepas kewafatannya Saidina Muhammad ibnu Abdullah s.a.w.. Siapakah yang perlu meneruskan perjuangan ini?.. Siapa yang perlu mendokong tugasan yang ditinggalkan ini?..


Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan bahawasanya Para Ulama' merupakan pewaris kepada Para Anbiyya'.. Merekalah yang memastikan kelangsungan takwa terus meliputi setiap jiwa manusia.. Merekalah yang memastikan dunia diurus dan ditakbir dengan takwa.. Yakni islam yang sebenarnya.. Islam yang dibawa oleh Rasulallah s.a.w bukannya Islam yang diubah dan ditokok tambah oleh manusia..


Maka, telah menjadi tanggungjawab sebagai seorang mukmin untuk mewaqafkan diri kepada harakah Islamiyyah untuk membantu para 'Ulama' meneruskan warisan Para Nabi dan Rasul.. Rasulullah s.a.w pernah bersabda "Hendaklah kamu bersama jema'ah Islam dan kepimpinan mereka"..


Saranan Baginda s.a.w sungguh besar dan amat berat untuk dipikul.. Tetapi, ianya wajib untuk dilaksanakan.. Kerana, Pengorbanan yang tinggi amat diperlukan untuk menggerakkan harakah Islamiyyah ini.. Sehinggakan terpaksa seseorang sahabat harakah itu melakukan perkara yang tidak disukainya sekiranya ianya merupakan tugasan yang diminta oleh majlis syura ataupun pimpinan sesebuah harakah Islamiyyah itu selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah..


Firman Allah s.w.t di dalam Surah An Nisa' ayat 59 "Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, Taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin dikalangan kamu"..


Perjuangan meneruskan tagusan An Biyya' ini merupakan perkara yang melibatkan ketakwaan dan keimanan.. Hanya mereka yang benar-benar menyakini akan keesaan Allah s.w.t yang sanggup meninggalkan kepentingan peribadinya dan nafsunya untuk mendaulahkan Islam.. Seperti mana kisah Hijrah.. Hanya mereka yang benar beriman sanggup menerima perintah dan suruhan Rasul s.a.w.. Begitu juga kisah Khalid Al Walid r.a ketika diperintahkan untuk meletakkan jawatan oleh Saidina Umar Al Khattab r.a.. Begitu juga kisah As Syahid Ustaz Ibrahim Libya.. Semuanya berpandukan Iman yang disulami ketakwaan..


Kebersamaan penting untuk bergerak di dalam harakah Islamiyyah.. Kesatuaan pemikiran dan amal wajib ada.. Ianya hanya dapat disatukan dengan Sistem Syura yang diajari oleh Rasulullah s.a.w.. ketaatan dan ketelusan juga merupakan elemen penting semasa merancang mahupun bergerak kerja untuk menyebarkan takwa di alam ini.. Samada di peringkat mana sekalipun.. Negara, negeri, daerah.. Hatta, di dalam kampus sekalipun.. Termasuklah di sistem apa sekalipun.. Sistem pentarbiyyahan, politik, penerangan, ekonomi dan kehidupan sosial..



MASJID NABAWI TEMPAT KESATUAN UMAT ISLAM PERTAMA DUNIA



Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran ayat 110


"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. "


Dalam menjadikan islam sebagai cara hidup.. Sistemnya perlu digerakkan secara berjema'ah.. Kerana itulah kalimat "kamu adalah umat yang terbaik.." digunakan untuk memberi gambaran bahawa tertegaknya islam itu adalah hasil daripada gabungan ummat Islam.. Islam tidak boleh digerakkan secara individu.. Tanggungjawab untuk kembalikan fitrah kehidupan bertakwa hanyalah dengan berjama'ah.. Tidak mungkin manusia dapat hidup sendirian.. Nabi Adam a.s walaupun hidup di syurga yang penuh nikmat.. Baginda a.s tetap memohon dan meminta supaya ditemani oleh seseorang..



Perlu difahami dan diingatkan, Baginda s.a.w itu mengetahui hakikat manusia itu.. Kerana itulah baginda s.a.w menyarankan kepada umatnya untuk sentiasa bersama dengan jema'ah islamiah.. Demi mencapai ketakwaan yang digariskan sebagai objektif kewujudan manusia.. Apabila disebut akan jema'ah.. Pasti wujudnya kepimpinan.. Seterusnya kepimpinan itu perlunya ada keta'atan.. Barulah nilai takwa dapat dijelmakan semula di dalam masyarkat..


Keegoan, prinsip diri dan kepentingan peribadi perlu diketepikan untuk menggerakkan Islam.. Ketelusan dan kebenaran perlu diketengahkan dan diaplikasikan dalam harakah Islamiyyah.. Barangsiapa yang menyembunyikan kebenaran sedangkan dia tahu akannya.. Maka, tergolong dirinya di dalam golongan yang batil.. Golongan yang merosakkan Harakah Islamiyyah.. Lebih-lebih lagi sekiranya dia beralasan malas dan tidak mahu berbincang untuk memudahkan urusan peribadinya..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Akhirnya, Sebagai ingatan bersama.. Apabila kita meletakkan diri di pentas Harakah Islamiyyah.. Maka, yakinlah.. Tergolongnya diri kita dalam golongan Ulama yang disebut Nabi Muhammad s.a.w sebagai pewaris Para Anbiyya'.. Kerana Ulama' itu merupakan mereka yang membawa amanah dan tanggungjawab Para Anbiyya' meneruskan seruan takwa..

Sekian terima kasih..

Al Faqir Ila Allah..


http://pena-zulfirdaus.blogspot.com/



Sumber : Ustz Mohd Halizal Allias..
Penolong Kanan Sek Tahfiz Sains An-Najihin.

*Sifat-sifat Ahli Ilmu (Para Penuntut ilmu.)



Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


ULASAN KITAB KEFAHAMAN YANG WAJIB DIPERBETULKAN..


Sifat penuntut Ilmu dan sanad..



Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan semester 'alam yang berfirman di dalam surah at taubah ayat ke 122..

"Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya."..


Selawat dan salam ke atas penghulu kepada seluruh umat Saidina Muhammad s.a.w, Baginda s.a.w merupakan rasul yang bersifat telus dan amanah serta merupakan pemimpin agung.. Sebaik-baik manusia yang pernah berjalan di muka bumi ini.. Sabda Baginda s.a.w

"sesiapa yang Allah s.w.t kehendaki kebaikan kepadanya, dia akan diberikan kefahaman tentang agama."..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Proses pencarian ilmu merupakan perkara utama di dalam islam.. Bahkan wahyu pertama diturunkan kepada Junjungan Mulia Saidina Muhammad s.a.w merupakan tuntutan mencari ilmu.. Kerana ilmu itu tunjang kepada segalanya.. Maka, dalam menuntut ilmu setiap manusia itu wajib mempunyai sitaf-sifat yang perlu ada dalam diri Ahli ilmu itu..

Ketahuilah, wajib hadir di dalam hati Ahli ilmu itu mempunyai belas kasihan, sayang menyayangi, cinta mencintai, dan tiada sifat keras seperti buruk sangka dan sebagainya.. Ahli ilmu juga tidak mencemuh, membenci, mencela dan melekehkan sesama makhluk.. Tetapi, mengasihi semua makhluk itu samada islam ataupun kafir. Hal inilah menyebabkan itu islam dimuliakan pada zaman dahulu..

Pernah anak murid Syeikh Ahmad Idris r.a bertanya kepadanya. " Bagaimana mengasihi kaum kafir itu." dia menjawab "Dengan mengasihi dan menginginkan agar mereka mendapat hidayah daripada Allah s.w.t."


 ANTARA CONTOH TERBAIK AHLI ILMU..


Perbahasan Sanad :

Antara, keistimewaan Umat Muhammad s.a.w ialah wujudnya kesenabungan ilmu pada zaman ini sehingga zaman Rasulallah s.a.w.. Hal ini menyebabkan ketelusan ilmu di dalam agama islam yang tidak di cemari oleh nafsu-nafsu makhluk seperti yang berlaku di dalam golongan Yahudi dan Nasrani.

Ketelusan inilah menjadikan ketiadaan penambahan sebarang unsur-unsur makhluk di dalam al Quran dan Hadith Rasulallah s.a.w..

Pentingnya mengetahui sumber sesuatu ilmu itu kerana ilmu itu sebahagian daripada agama.. Kerana itulah Para Ulama' begitu berhati-hati dalam menpelajari sesuatu ilmu. Perlunya melihat, mengatahui daripada mana sumber sesuatu ilmu itu kerna ilmu itu adalah agama. Kerana dibimbangi hadir daripada manusia yang suka melakukan perkara tokok tambah di dalam agama seperti yang dipelopori oleh Muhammad Abdul Wahab.. Manusia yang lahir daripada Kota Najd..

Pernah sewaktu imam malik r.a berkata " sewaktu aku masuk kedalam Masjid Nabawi untuk meriwayatkan hadith. Aku melihatkan lebih kurang 70 manusia yang memakai serban mengajar umpama Syeikhulkabir.. Tapi, tiada seorang yang memenuhi kateria untuk di ambil hadith daripada mereka." .. Kerana itulah, penting untuk mencari sumber ketelusan dalam ilmu islam.. dibimbangi hadir daripada sumber yang tidak soheh..

Syarat-syarat ahli ilmu itu..
1. adil yakni mereka terjaga maruahnya. mereka tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak pula kekal melakukan dosa-dosa kecil.
2. dobit yakni meguasai ilmu tersebut.

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Sedarilah, sekiranya tidak kedapatan sifat-sifat luhur ini di dalam batin setiap Ahli ilmu itu.. Maka, semakin bertambahlah fitnah yang melanda umat islam di zaman ini.. Golongan kafir semakin menjauhi islam walau ada kedapatan dikalangan mereka yang cuba mencari hakikat kebenaran Cahaya Jalan Yang Lurus.. Kerana mereka takut dan bimbang akan ajaran islam itu.. Mereka melihat dan menganalisa berdasarkan apa yang mereka lihat dan perhatikan sifat dan sikap umat islam itu sendiri..

Ketahuilah, sewajibnya setiap umat islam itu menjadi Ahli ilmu.. Kerana ibadah tanpa ilmu dikhuatiri tidak diterima Allah s.w.t.. Kerana tidak mencapai piawai yang ditetapkan di setiap sesuatu kefardhuan yang di tetapkan..

Sebagai akhirnya, penting untuk kita mengatahui sumber sesuatu ilmu itu.. Jangan hanya kita berguru dengan buku dan internet semata.. Rujuklah mereka yang ahli dalam sesuatu bidang itu.. kerana dibimbangi kita akan berguru dengan Syaitan Laknatullah yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia..
Sekian, terima kasih..



Al Fakir Ila Allah..

Sumber Huraian.. Syiekh Mohd Fuad Kamaluddin Al Maliki..
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan..

Tuesday, October 7, 2008

*Tolonglah!! Kembalikan keagungan Islam..


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..



Peranan umat untuk mengembelingkan tenaga..


Segala puji bagi Allah s.w.t Yang Maha Mengatahui.. Agungnya nikmat kurniaan Allah s.w.t dengan mengutuskan pesuruhnya Saidina Muhammad s.a.w sebagai pembawa manusia menuju ke daerah bahagia dan kemakmuran di dunia dan di akhirat.. Kelahiran manusia agung ini tiada tolok bandingnya seperti yang difirmankan dalam al Furqan menerusi Surah al Ahzab ayat 21

" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."..



Saudara Saudariku sekelian,

Jika selama ini kita bersyahadah mengesakan Allah s.w.t dan mengakui kehambaan padaNya.. Sewajibnya kita menyusuri perjalanan Cahaya Jalan Yang Lurus yang suci murni.. Hanyalah Rasulallah s.a.w menjadi panduan utama dalam mengapai redha dan rahman Allah s.w.t.. Pemimpin dan rakyat sekarang yang ketandusan sifat kepimpinan, wajib mewarisi jejak langkah Baginda s.w.t supaya kembali ke landasan sebenar dan tidak dilabel sebagai Muslim derhaka..

Malangnya, di kala ini ramai Muslim yang tidak lagi memantulkan Cahaya Jalan Yang Lurus sebagai keperibadiannya.. Sebaliknya, ramai yang berbangga dengan menuruti dan meniru sifat dan akhlak golongan kuffar (Barat khususnya).. Ketahuilah, kerana sikap yang berpenyakit ini punca kita menjadi lalai dan angkuh.. Kerana itulah senario Muslim hari ini.. Semakin hari, semakin malap cahaya keislamannya..

Saudara Saudari yang ku kasihi,



Ketahuilah sabda junjungan s.a.w.. Daripada Ali bin abi talib k.w.j.. Sabdanya

" Sudah hampir suatu masa (pada akhir zaman) di mana tidak tinggal lagi daripada islam itu melainkan namanya saja.. Dan tidak tinggal daripada al Quran itu melainkan tulisannya sahaja.. Masji masjid mereka pada masa itu tersergam indah (dan sangat besar), tetapi kosong daripada petunjuk Allah s.w.t, 'ulama mereka (pada masa itu) adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit ini.. Daripada mereka berpunca pelbagai fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali." Hadith riwayat al Baihaqi..

Jika kita menilai dunia islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang dinyatakan Rasulallah s.a.w.. Meskipun tidak sampai pun, ianya dapat dilihat jelas pada hari ini ke arah menghampirinya..



Cuba renungkan.. Berapa ramai Muslim yang indah namanya.. Sehinggakan ada yang menggunakan nama Rasul dan Para Sahabat.. Tetapi, tingkahnya tidak mencirikan namanya.. Selain itu, lihatlah bagaimana tulisan al Quran dan masyhafnya dihias di dinding dan almari kaca.. Namun, berapa kalikah ianya dibaca dan ditadabburkan.. Ada juga yang kononnya ingin mencontohi sunnah Rasulallah s.a.w dengan menjadikan al Quran sebagai hantaran.. Ironinya, setelah puluhan tahun perkahwinan kitab itu masih kelihatan baru dan cantik.. Begitu juga dengan binaan masjid-masjid yang tersergam hebat.. Dengan seni bina kristalnya dan sebagainya.. Besarnya monumen ini sehingga dapat menampung lebih puluhan ribu manusia.. Tetapi, selain solat hari raya dan jumaat.. Bilangan kipas melebihi bilangan jemaahnya.. Tidak seperti pusat membeli belah, tapak hiburan dan jualan, dan konsert, ianya dipenuhi ribuan manusia, pergaulan bebas lelaki dan perempuan menjadi aktiviti rasminya.. Malah mereka merasa bangga dan nikmat dengan perbuatan yang mereka lakukan..

Saudaraku,

Sedarilah, sama ada kalian sebagai pemimpin ataupun rakyat semuanya tertakluk kepada ajaran islam.. Penghayatannya bukan sekadar ucapan bahawa kita beragama islam dan beiman kepada Allah s.w.t..
Malahan wajib menjadikan islam sebagai cara hidup dan panduan kepada keperibadian diri.. Disamping mencari kemewahan dunia jangan dilupakan keuntungan akhirat yang benar hakiki sebagai pengimbang dalaman dari terus menuruti hawa nafsu semata..

MARILAH BERSAMA BERSATU

Bepegang teguh dengan al Quran dan as Sunnah bukanlah sekadar amalan lahiriah semata tetapi sehingga batin kita dibasahi dengan batasan yang membezakan antara halal dan haram.. kerana Allah s.w.t telah mengangatkan di dalam surah al Baqarah ayat 188

" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.."..



Saudara dan Saudariku,

Ketahuilah, jasad dan batin umat islam kini sudah diresapi jarum golongan anti-islam, perbalahan furu'iah, hak asasi manusia kononnya serta lain-lain lagi dan perlu kita sedari hakikat ini.. Cuma persoalannya, adakah generasi ini dapat mengembalikan serta merealisaikan tamadun Islam kembali gah seperti masa lalu?


Maka, sedarlah .. Tanpa kesedaran mendalam, selagi itulah pelbagai anasir dan corak haru biru akan menimpa umat islam.. Kita perlu mengorak langkah menumpaskan musuh yang datang dalam pelbagai bentuk kerana jika tidak, masyarakat Muslim akan terus hanyut dalam fahaman kebendaan selamanya..

Sempena Syawal ini, sudah tiba masanya setiap umat islam mengembeling tenaga dan bertanyalan pada diri mereka apakah sumbangan yang sudah diberikan kepada islam?.. Jika belum ada berbekalkan tarbiyah Ramadhan sebagai kekuatan dalaman, tekatkan niat untuk mengorak langkah memupuk kefahaman islam dan memperbanyakkan amal makruf dan nahi mungkar.. Insyallah, keagungan islam itu akan dikembalikan..

Sumber : Bahagian Pengurusan Masjid.. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus..




Sunday, October 5, 2008

*Perginya Ramadhan Hadirnya Syawal.. Namun Apa Nilainya Syawal?.. Jika...

Penilaian Tarbiyah Ramadhan..

Segala Puji Bagi Allah s.w.t kerana dengan izinnya memberi ruang kehidupan kepada manusia untuk terus melakar corak kehidupan selama mana nikmat hirupan nafas terus dihulurkan kepada semua hambanya.. Allah s.w.t itu Maha Mengatahui hakikat kehambaan manusia itu dan sejauh mana lagi hambaNya perlu menongkah kehidupan untuk mencapai Cahaya Jalan Yang Lurus yang sewajibnya digapai..

kerana itulah peringatan Allah s.w.t melalui firmanNya dalam Surah Isra' ayat 15..

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan meng'azab sebelum Kami mengutus seorang rasul."



Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Agungnya kehebatan Allah s.w.t dalam menyusun kehidupan hambaNya.. Penilaiannya dapat diteliti dalam setiap syariat yang difardukan.. Termasuklah tarbiyah Ramadhan yang direncanakan yang mana tujuannya mengikat kembali tautan tali ketuhanan dalam setiap diri hambaNya.. Kerana manusia itu sekiranya semakin hari semakin sibuk dengan kehidupannya.. Semakin rengganglah ikatan yang menghubungkan tautan hati kepada penciptaNya.. Ketahuilah, kerana itulah Allah s.w.t merakamkan beberapa kisah manusia yang hanyut kerana dunia seperti Qarun yang asalnya seorang hamba yang soleh.. Semuanya untuk mengajar manusia untuk mengambil iktibar dari sejarah..

Ramadhan merupakan pentas untuk manusia mengilap kembali sinar kehambaan.. Supaya manusia merasai keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t sepanjang masa.. Kerana itulah tarbiyah Ramadhan disusun dengan amalan-amalan rohani yang dapat mengembalikan fitrah manusia.. Sebagai contoh, kursus Solat Terawih yang diprogramkan untuk mendidik manusia bermunajat, mengharap dan bertawakal kepada Allah s.w.t.. Lantas, mengeratkan tautan Agung yang mungkin kian renggang..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati sekelian,

Cuba dorongkan aqal yang dikurniakan untuk menilai dan menganalisis prestasi kendiri.. Sejauh mana tahap pencapaian diri selepas ditarbiyah.. Apakah tergolongnya diri di kalangan manusia yang sia-sia? Sebelum dan selepasnya tidak ada perbezaan.. Atau dapatkah kita mengecap objektif takwa yang digariskan?.. Selidikilah dimanakan letaknya tahap ketakwaan sebenar yang menjadi objektif utama kefardhuan puasa..

Cuba nilaikan diri.. Apakah benar tautan hati benar pada Allah s.w.t?.. Apakah telah mencapai garis panduan yang ditetapkan dalam tarbiyah Ramadhan iaitu ketakwaan?..



Muslimin dan Muslimat sekelian,

Banyak persoalan yang sering bermain di minda penulis.. Apabila melihat amalan ziarah di bulan Syawal ini.. Ianya merupakan perkara yang digalakkan di dalam islam.. Tetapi, berapa ramai manusia tidak menetupi auratnya ketika menziarahi sanak saudara.. Lihat pula apakah topik utama perbualan ketika berziarah.. Ramai yang menjadikan perkara ghibah atau mengumpat sebagai tema.. Hairan juga bagaimana manusia yang telah menjalani tarbiyah Ramadhan, masih lagi terikat jiwanya kepada perkara yang bercampur baur halal dan haram.. Ramai juga yang apabila hadirnya tekanan di dalam dirinya.. Akan memilih untuk menyaksikan racun golongan kuffar seperti filem dan drama.. Kononnya untuk meleraikan tekanan yang dihadapinya.. Terutamanya di bulan Syawal ini.. Pelbagai aurat wanita disajikan di media sebagai nikmat kepada nafsu manusia..

Saya tertarik dengan persoalan yang pernah dilontarkan Tuan Guru Haji Nik Aziz.. Kata beliau "ada orang yang bila datang musibah dia pergi ke pantai untuk menghilangkan tekanan.. Tapi benarkah akan hilang tekanan itu? Bila pulang ke situasi asal akan kembali tekanan yang dirasai tadi."..

Hebatnya penyusunan tarbiyah Ramadhan itu sehinggakan disarankan di dalamnya untuk bertadarus dan bertadabbur kalam Allah s.w.t.. Kerana kalam Allah s.w.t merupakan nasihat yang paling baik dan sempurna.. Hanyalah mereka yang benar beriman akan menjadi tenang jiwanya apabila melayari keindahan al Quran.. Ketenangan itu hanya hadir apabila manusia sentiasa mengatahui Allah s.w.t sentiasa di sisinya dan tidak pernah merasai dirinya sendirian.. Ianya hanya dapat difahami sekiranya bertadabbur dengan al Quran.. Setelah itu bakal lahirlah ketenangan itu sendiri dalam jiwa yang hidup al quran di dasarnya..

Begitu juga persoalan yang sering saya tertanya bagaimana seorang hamba itu boleh menghabiskan masa yang dianugerahkan dengan perkara sia-sia seperti bermain permainan video, berdua-duaan dan sebagainya.. Sedangkan hamba itu mengatahui akan usianya di dunia semakin singkat.. Sedangkan Ramadhan telah direncana dengan aktiviti yang dapat menyusun waktu dengan perkara bermanfaat dan mengurangkan perkara yang sia-sia.. Ramadhan telah memberikan didikan yang cukup sempurna sekiranya ianya diamati sebaiknya..

Muslimin dan muslimat,

Ketahuilah. sewajibnya orang yang beriman itu mengikat tautan hatinya hanya pada Allah s.w.t.. Ketenangan itu hanya hadir apabila kita mengatahui hakikat disebalik sesuatu itu..
Kerana dunia ini hanyalah bayangnya yang sentiasa melakarkan keindahan yang menipu manusia.. Mulalah bertatih sedari saat ini untuk cuba mencari kebenaran di sebalik sesuatu.. Jadikanlah tarbiyah Ramadhan sebagai panduan anjakan paradigma dalam hidup.. Sebagai contoh, sekiranya rawih yang dilasanakan secara berjemaah di masjid.. Jadikanlah solat berjemaah sebagai suatu yang menjadi amalah wajib dilakukan setiap hari.. Lakukanlah secara istiqamah.. Walaupun hanya satu solat fardu sahaja sehari secara berjemaah.. Namun jadikan ianya amalan yang wajib dilakukan..

Sedarilah.. Janganlah nilaikan sesuatu itu dengan aqal warasmu.. Kerana aqalmu tidak mampu menafsir sesuatu maknawi yang disembunyikan hakikatnya.. Ketahuilah, setiap pensyariatan itu tiada satupun yang merugikan manusia.. Walaupun sekiranya dinilai dengan aqalmu hanya kerugian yang menimpamu.. Ramadhan telah melatih manusia untuk memenuhkan masa dengan aktiviti bermanfaat.. Maka, sisipkanlah perasaan di batinmu untuk melestarikan kehidupan di hadapan dengan amalan soleh dan kebajikan serta mengurangkan amalan sia-sia..

Ramadhan sepatutnya meninggalkan bekas-bekas penting dalam kehidupan kita.. Samada kehidupan peribadi, kehidupan keluarga dan kehidupan sosial.. Kerana inilah tujuan kita berpuasa.. Yakni memperkukuhkan rasa takwa pada diri kita.. Kesan takwa harus dirasa bukan hanya pada kehidupan peribadi dan keluarga tetapi meliputi kehidupan sosial kita.. Inilah masej utama tarbiyah Ramadhan.. Kerana islam itu merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam..

Maka, sebagai seorang yang mengakui beriman.. Marilah terus menghidupkan rasa takwa dan ihsan yang disemai dalam tarbiyah Ramadhan.. Ianya sebagai tanda kejayaan kita menyempurnakan Ramadhan kali ini.. Ketahuilah, kejayaan sebenar ialah dengan melihat sejauh mana kita dapat meneruskan amalan-amalan takwa dan ihsan selepas Ramadhan.. Samada sebagai individu, keluarga dan masyarakat..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati sekelian,

Sebagai akhirnya, saya tidak menafikan ada pihak yang akan melemparkan hujah bahawasanya keimanan dan ketakwaan manusia itu tidak sama.. Kefahaman manusia tentang agama itu berbeza.. Senario kehidupan, amalan sehariannya, keadaan persekitarannya dan kesedaran dalam diri itu berbeza.. Ada juga yang bakal memanipulasi isu sekolah agama ataupun tidak dan sebagainya..

Namun, apakah semua alasan yang diberikan itu merupakan dinding yang menghalang Cahaya Jalan Yang Lurus daripada mengetuk dasar hati setiap hamba itu.. Fikirkanlah.. Semoga kita dikurniakan inayah dan hidayah.. Insyallah..

Al Fakir Ila Allah..

Sumber Ramadhan.. Syiekh Mohd Fuad Kamaluddin Al Maliki..
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan..

Dengan Nama Allah s.w.t..