Wednesday, September 24, 2008

*Berakhirnya Kenikmatan Ramadhan..


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

Perginya Ramadhan Al Mubarak..


Duhai jiwa-jiwa yang tenang,

Insan yang benar-benar menghayati dan mendapatkan faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa di bulan Ramadhan, sudah pasti menghadapi detik perpisahan dengan bulan Ramadhan dengan penuh kesedihan dan pengharapan.. Di benak qalbunya berlegar persoalan apakah amalan mereka diterima, dan di kala itu jualah mereka amat berharap agar dosa noda mereka diampunkan dan diberikan peluang untuk bersua dengan Ramadhan yang akan datang.. Tersemat padu khauf (takut) dan raja' (harap) dalam batinnya pada Allah s.w.t

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,


Cuba kalian pujuk batinmu.. Bawalah ianya melayari lautan muhasabah.. Bandingkan dirimu dengan mereka-mereka yang telah mencapai kejayaan di sepanjang menjalani program pentarbiyahan Ramadhan.. Bagaimana jiwa dan nurani mereka yang telah terpaut dengan ikatan tauhid yang kukuh.. Mereka menyakini firman Allah s.w.t "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." al baqarah ayat 256.. Mereka inilah golongan yang disebut sebagai Salafussoleh..

Ketahuilah, Para Salafussoleh begitu bersungguh menyempurnakan amalan mereka semasa di bulan Ramadhan.. Namun, mereka asyik memikirkan bagaimana penerimaan Allah s.w.t terhadap amalan tersebut dan risau ia ditolak.. Sedarilah mereka inilah yang disebut dalam surah Al Mukminun ayat 60 "Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang gerun dan gementar.".. Bukannya mereka tidak mengatahui bahawasanya Allah s.w.t itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang.. Bahkan Rahmat Allah s.w.t itu luas seluasnya.. Namun, kebimbangan mereka sekiranya amal mereka ditolak menyebabkan mereka kelihatan berdukacita pada hari raya..

Muslimin dan Muslimat,

Fikirkanlah sedangkan Golongan Salafussoleh yang kedudukannya di sisi Allah s.w.t begitu hampir tetap berdukacita kerana bimbang tidak diterima amalnya.. Sedangkan besar mujahadah mereka memerangi kemaraan nafsu sehinggakan nafsu itu menjadi hamba kepada mereka.. Dikhabarkan Imam Abu Hanifah r.a hanya makan sekadar quantiti makanan burung untuk mendapatkan tubuh yang ringgan beribadah kepada Allah s.w.t.. Bagaimana kita sebagai manusia biasa yang nafsu menjadi raja dijiwa.. Renungkan pernahkah kita memikirkan tentang amalan yang telah kita lakukan.. Bagaimana kita tidak ada merasakan keasyikan kelazatan beribadah kepada Allah s.w.t.. Kita juga tidak pernah bimbang apakah amalan kita diterima.. Atau apakah kalian sudah mengerti atau mengatahui usiamu mampu menerjah ke Ramadhan yang hadapan..

Sedarlah, kita tidak tahu apa yang ada di masa hadapan.. Kita tidak tahu apa yang berlaku di masa hadapan.. Maka, ambillah sedikit waktu untuk kalian bermuhasabah dan merenung keadaan yang telah dilalui..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Di dalam bulan Ramadhan, diperbanyakkan sebab-sebab untuk mendapat keampunan.. Di antaranya ialah puasa, bangun malam Lailatul Qadar, menjamu orang berbuka puasa, zikir, dan istighfar, bahkan malaikat sentiasa memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka.. Maka, kerana itulah Golongan Salafussoleh  takut mereka tergolong daripada orang yang terlepas peluang untuk mendapat keampunan Allah s.w.t pada bulan Ramadhan.. Kerana orang yang tidak mendapat keampunan Allah s.w.t merupakan golongan yang paling jauh daripada magfirah Allah s.w.t..

Ketahuilah dan sedarlah, bila masakah lagi akan diampunkan dosa-dosa kamu.. Bilakah akan diterima doa orang yang ditolak doanya pada malam Lailatul Qadar? Bilakah akan baik orang yang tidak baik pada bulan Ramadhan? Bilakah akan sihat orang-orang yang mempunyai penyakit kejahilan dan kelalaian? Setiap pohon yang tidak berbuah pada musimnya, akan dipotong kemudian dibakar..

Saudaraku sekelian,

Sesungguhnya hari berbuka dari bulan Ramadhan merupakan hari Raya bagi seluruh umat kerana pada hari tersebut dibebaskan orang-orang yang melakukan dosa besar dari kalangan orang-orang yang berpuasa dari neraka.. Keadaan yang sama dengan hari Qurban yang merupakan hari raya terbesar kerana sebelumnya ialah hari Arafah.. Ia adalah hari yang tidak pernah dilihat di dunia pembebasan yang paling banyak daripada hari tersebut.. Sesiapa yang dibebaskan dari neraka pada dua hari tersebut, maka baginya hari Raya, wajar dia meraikan kemenangan bagi dirinya.. Dan sesiapa uang tidak mendapat pembebasan pada dua hari tersebut, maka baginya hari perjanjian yang buruk..

Sebagai akhirnya,

Seruanku pada pemilik-pemilik dosa-dosa besar pada hari-hari yang mulia ini! Telah berapa ramai orang-orang yang memiliki dosa dan kesalahan dibebaskan daripada api neraka pada bulan ini.. Maka sesiapa yang dibebaskan darinya sesungguhnya telah mencapai kejayaan dan kurniaan yang besar.. Wahai orang yang dibebaskan Tuannya dari neraka! Berhati hatilah kamu dari kembali kepadanya selepas kamu menjadi seorang yang merdeka.. Adakah setelah Tuanmu menjauhkanmu dari neraka, kamu pula mahu mendekatinya? Adakah setelah dia menyelamatkan kamu, kamu pula mahu menjatuhkan diri kamu ke dalamnya dan tidak berhati dengannya?

Wahai awan kelalaian yang menebal di hati! Berlalulah.. Wahai matahari ketakwaan dan keimanan! Terbitlah. Wahai suratan amalan orang-orang yang soleh! Terangkatlah! Wahai hati yang sedang puasa! Khusyuklah.. Wahai kaki kaki orang yang bermujahadah! Sujudlah kepada Tuhanmu dan ruku'lah kepadaNya.. Wahai mata-mata orang-orang yang bertahajjud! Janganlah tidur.. Wahai dosa-dosa orang-orang yang telah bertaubat! Janganlah kembali kepada dosamu. Wahai bumi hawa nafsu! Telanlah airmu.. Wahai langit nafsu! gugurlah.. Sesungguhnya telah berpanjangan hari-hari hidangan nikmat bagi orang-orang yang berpuasa.. Maka tidaklah kalian melainkan orang diseru..

" Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. " Al Ahqaaf ayat 31..

Wahai hati! Mnangislah dengan pemergian Ramadhan.. Wahai orang-orang yang beriman! Bersegeralah.. Bersegeralah orang yang diterima amalannya, maka dia tergolong di kalangan orang yang benar lalu dipersilakan masuk ke dalam syurga melalui pintu al Rayyan, dan celakalah bagi orang yang ditolak dan dihalau dari pintu tersebut, lalu dicampak ke dalam neraka..

Al Fakir ila Allah..

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..