Sunday, October 5, 2008

*Perginya Ramadhan Hadirnya Syawal.. Namun Apa Nilainya Syawal?.. Jika...

Penilaian Tarbiyah Ramadhan..

Segala Puji Bagi Allah s.w.t kerana dengan izinnya memberi ruang kehidupan kepada manusia untuk terus melakar corak kehidupan selama mana nikmat hirupan nafas terus dihulurkan kepada semua hambanya.. Allah s.w.t itu Maha Mengatahui hakikat kehambaan manusia itu dan sejauh mana lagi hambaNya perlu menongkah kehidupan untuk mencapai Cahaya Jalan Yang Lurus yang sewajibnya digapai..

kerana itulah peringatan Allah s.w.t melalui firmanNya dalam Surah Isra' ayat 15..

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan meng'azab sebelum Kami mengutus seorang rasul."



Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Agungnya kehebatan Allah s.w.t dalam menyusun kehidupan hambaNya.. Penilaiannya dapat diteliti dalam setiap syariat yang difardukan.. Termasuklah tarbiyah Ramadhan yang direncanakan yang mana tujuannya mengikat kembali tautan tali ketuhanan dalam setiap diri hambaNya.. Kerana manusia itu sekiranya semakin hari semakin sibuk dengan kehidupannya.. Semakin rengganglah ikatan yang menghubungkan tautan hati kepada penciptaNya.. Ketahuilah, kerana itulah Allah s.w.t merakamkan beberapa kisah manusia yang hanyut kerana dunia seperti Qarun yang asalnya seorang hamba yang soleh.. Semuanya untuk mengajar manusia untuk mengambil iktibar dari sejarah..

Ramadhan merupakan pentas untuk manusia mengilap kembali sinar kehambaan.. Supaya manusia merasai keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t sepanjang masa.. Kerana itulah tarbiyah Ramadhan disusun dengan amalan-amalan rohani yang dapat mengembalikan fitrah manusia.. Sebagai contoh, kursus Solat Terawih yang diprogramkan untuk mendidik manusia bermunajat, mengharap dan bertawakal kepada Allah s.w.t.. Lantas, mengeratkan tautan Agung yang mungkin kian renggang..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati sekelian,

Cuba dorongkan aqal yang dikurniakan untuk menilai dan menganalisis prestasi kendiri.. Sejauh mana tahap pencapaian diri selepas ditarbiyah.. Apakah tergolongnya diri di kalangan manusia yang sia-sia? Sebelum dan selepasnya tidak ada perbezaan.. Atau dapatkah kita mengecap objektif takwa yang digariskan?.. Selidikilah dimanakan letaknya tahap ketakwaan sebenar yang menjadi objektif utama kefardhuan puasa..

Cuba nilaikan diri.. Apakah benar tautan hati benar pada Allah s.w.t?.. Apakah telah mencapai garis panduan yang ditetapkan dalam tarbiyah Ramadhan iaitu ketakwaan?..



Muslimin dan Muslimat sekelian,

Banyak persoalan yang sering bermain di minda penulis.. Apabila melihat amalan ziarah di bulan Syawal ini.. Ianya merupakan perkara yang digalakkan di dalam islam.. Tetapi, berapa ramai manusia tidak menetupi auratnya ketika menziarahi sanak saudara.. Lihat pula apakah topik utama perbualan ketika berziarah.. Ramai yang menjadikan perkara ghibah atau mengumpat sebagai tema.. Hairan juga bagaimana manusia yang telah menjalani tarbiyah Ramadhan, masih lagi terikat jiwanya kepada perkara yang bercampur baur halal dan haram.. Ramai juga yang apabila hadirnya tekanan di dalam dirinya.. Akan memilih untuk menyaksikan racun golongan kuffar seperti filem dan drama.. Kononnya untuk meleraikan tekanan yang dihadapinya.. Terutamanya di bulan Syawal ini.. Pelbagai aurat wanita disajikan di media sebagai nikmat kepada nafsu manusia..

Saya tertarik dengan persoalan yang pernah dilontarkan Tuan Guru Haji Nik Aziz.. Kata beliau "ada orang yang bila datang musibah dia pergi ke pantai untuk menghilangkan tekanan.. Tapi benarkah akan hilang tekanan itu? Bila pulang ke situasi asal akan kembali tekanan yang dirasai tadi."..

Hebatnya penyusunan tarbiyah Ramadhan itu sehinggakan disarankan di dalamnya untuk bertadarus dan bertadabbur kalam Allah s.w.t.. Kerana kalam Allah s.w.t merupakan nasihat yang paling baik dan sempurna.. Hanyalah mereka yang benar beriman akan menjadi tenang jiwanya apabila melayari keindahan al Quran.. Ketenangan itu hanya hadir apabila manusia sentiasa mengatahui Allah s.w.t sentiasa di sisinya dan tidak pernah merasai dirinya sendirian.. Ianya hanya dapat difahami sekiranya bertadabbur dengan al Quran.. Setelah itu bakal lahirlah ketenangan itu sendiri dalam jiwa yang hidup al quran di dasarnya..

Begitu juga persoalan yang sering saya tertanya bagaimana seorang hamba itu boleh menghabiskan masa yang dianugerahkan dengan perkara sia-sia seperti bermain permainan video, berdua-duaan dan sebagainya.. Sedangkan hamba itu mengatahui akan usianya di dunia semakin singkat.. Sedangkan Ramadhan telah direncana dengan aktiviti yang dapat menyusun waktu dengan perkara bermanfaat dan mengurangkan perkara yang sia-sia.. Ramadhan telah memberikan didikan yang cukup sempurna sekiranya ianya diamati sebaiknya..

Muslimin dan muslimat,

Ketahuilah. sewajibnya orang yang beriman itu mengikat tautan hatinya hanya pada Allah s.w.t.. Ketenangan itu hanya hadir apabila kita mengatahui hakikat disebalik sesuatu itu..
Kerana dunia ini hanyalah bayangnya yang sentiasa melakarkan keindahan yang menipu manusia.. Mulalah bertatih sedari saat ini untuk cuba mencari kebenaran di sebalik sesuatu.. Jadikanlah tarbiyah Ramadhan sebagai panduan anjakan paradigma dalam hidup.. Sebagai contoh, sekiranya rawih yang dilasanakan secara berjemaah di masjid.. Jadikanlah solat berjemaah sebagai suatu yang menjadi amalah wajib dilakukan setiap hari.. Lakukanlah secara istiqamah.. Walaupun hanya satu solat fardu sahaja sehari secara berjemaah.. Namun jadikan ianya amalan yang wajib dilakukan..

Sedarilah.. Janganlah nilaikan sesuatu itu dengan aqal warasmu.. Kerana aqalmu tidak mampu menafsir sesuatu maknawi yang disembunyikan hakikatnya.. Ketahuilah, setiap pensyariatan itu tiada satupun yang merugikan manusia.. Walaupun sekiranya dinilai dengan aqalmu hanya kerugian yang menimpamu.. Ramadhan telah melatih manusia untuk memenuhkan masa dengan aktiviti bermanfaat.. Maka, sisipkanlah perasaan di batinmu untuk melestarikan kehidupan di hadapan dengan amalan soleh dan kebajikan serta mengurangkan amalan sia-sia..

Ramadhan sepatutnya meninggalkan bekas-bekas penting dalam kehidupan kita.. Samada kehidupan peribadi, kehidupan keluarga dan kehidupan sosial.. Kerana inilah tujuan kita berpuasa.. Yakni memperkukuhkan rasa takwa pada diri kita.. Kesan takwa harus dirasa bukan hanya pada kehidupan peribadi dan keluarga tetapi meliputi kehidupan sosial kita.. Inilah masej utama tarbiyah Ramadhan.. Kerana islam itu merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam..

Maka, sebagai seorang yang mengakui beriman.. Marilah terus menghidupkan rasa takwa dan ihsan yang disemai dalam tarbiyah Ramadhan.. Ianya sebagai tanda kejayaan kita menyempurnakan Ramadhan kali ini.. Ketahuilah, kejayaan sebenar ialah dengan melihat sejauh mana kita dapat meneruskan amalan-amalan takwa dan ihsan selepas Ramadhan.. Samada sebagai individu, keluarga dan masyarakat..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati sekelian,

Sebagai akhirnya, saya tidak menafikan ada pihak yang akan melemparkan hujah bahawasanya keimanan dan ketakwaan manusia itu tidak sama.. Kefahaman manusia tentang agama itu berbeza.. Senario kehidupan, amalan sehariannya, keadaan persekitarannya dan kesedaran dalam diri itu berbeza.. Ada juga yang bakal memanipulasi isu sekolah agama ataupun tidak dan sebagainya..

Namun, apakah semua alasan yang diberikan itu merupakan dinding yang menghalang Cahaya Jalan Yang Lurus daripada mengetuk dasar hati setiap hamba itu.. Fikirkanlah.. Semoga kita dikurniakan inayah dan hidayah.. Insyallah..

Al Fakir Ila Allah..

Sumber Ramadhan.. Syiekh Mohd Fuad Kamaluddin Al Maliki..
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan..

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..