Wednesday, October 29, 2008

*Bagaimana mendapatkan solat yang sempurna?..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


IBADAH SOLAT DAN KEKUATAN UMMAH..



Pengsyariatan kefardhuan solat merupakan nadi kekuatan utama kepada umat islam.. Keistimewaannya dapat dinilai bagaimana ianya disampaikan secara terus kepada Saidina Muhammad ibnu Abdullah Al Mustafa s.a.w tanpa perantaraan Saidina Jibril a.s ketika malam Isra’ Mikraj.. Peristiwa ini mengggambarkan betapa ibadah solat itu merupakan elemen penting kepada umat islam..

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama.. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran.. Ianya juga menjadi medan asas tarbiyah dalam kepimpinan dan siasah islamiah kerana elemen berjemaah yang tersemat dalam kefardhuan solat.. Kerana itulah, Sirah Nubuwwah menunjukkan bagaimana Rasulallah s.a.w dan Para Sahabat r.hum benar-benar meneliti dan menganalisa peranan solat berjemaah dalam kehidupan untuk diaplikasikan dalam urusan individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya pentadbiran Wilayah Madinah Al Munawwarah..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,



Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

“Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.” (Sunan Tirmizi)


MASJID PUSAT PEMBANGUNAN NEGARA MADINAH AL MUMAWWARAH

Namun, persoalan utama yang timbul ialah solat yang bagaimanakah dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?. Bagaimanakah solat dapat membawa perubahan kegelapan jahiliah kepada kilauan cahaya jalan yang lurus..

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati,


Pada asasnya pelaksanaan solat melibatkan dua elemen iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah).. Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. dan sebagainya.. Manakala pergerakan Rohaniah ialah pemusatan atau penyatuan pemikiran dan perasaan kepada Allah s.w.t sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat..

Oleh itu, solat yang dicanang perlulah dilakukan dengan penyatuan dua elemen dengan sempurna.. Barulah ia mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran.. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Apa yang jelas, natijah daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.. ketaatan dan kepatuhan kepada segala perintah Allah s.w.t mulai bertunas di dalam diri.. Lantas, akhlak mulia mulai tumbuh segar menyuburi taman hati.. Akhirnya, lahirlah buah kecintaan dan kelazatan melakukan amal soleh dan kebajikan serta akan berpucuklah penawar kebencian akan maksiat dan kemungkaran.. Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan serta tinggi nilainya.. Kerana ia mampu membawa kita ke jalan yang diredhai Allah s.w.t..


Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 berbunyi:

”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "




Muslimin dan Muslimat,



Bagaimanapun apa yang menghairankan dan menyedihkan kita ialah terdapat juga segelintir kelompok masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. .

Mereka lebih merasai kelazatan menuruti hawa nafsu daripada kelazatan beribadah kepada Allah s.w.t.. Golongan inilah yang digolongkan oleh ulama’ tasawwuf sebagai hamba kepada nafsu dan bukan hamba kepada Allah s.w.t..

Golongan yang sebegini juga amat dimurkai Allah s.w.t sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Sebagai akhirnya, ingin penulis mengingatkan bahawa terdapat natijah yang amat bermanfaat kepada mereka yang sempurna melaksanakan ibadah solat, biasanya mereka juga sempurna melakukan ibadah dan amalan kebajikan yang lain.. Mereka juga mudah untuk menerima ilmu pengatahuan.. Lantas memudahkan urusan pembelajaran mereka.. Oleh itu, marilah kita menjaga solat yang difardhukan ke atas kita, dengan memenuhi aspek jasmani dan rohani.. Laksanakanlah solat yang berkualiti. Dalam usaha ke arah meningkatkan kesempurnaan ibadah solat..

Kata Imam al-Ghazali r.a untuk mendapatkan solat yang sempurna..



Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.

Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.

Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.

Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah s.w.t, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kelima : Sentiasa malu kepada Allah s.w.t, kerana kelemahan dalam beribadah.

Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah s.w.t, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah s.w.t.


“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”



Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..

Sumer : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia..

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..