Friday, March 6, 2009

*Kekasih

Cahaya Jalan Yang Lurus


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Kesempurnaan Saidina Muhammad bin Abdullah s.a.w..


Segala puji bagi Allah s.w.t Yang Maha Mengurniakan semua nikmat kepada para hambaNya.. Dianugerahkan nikmat paling besar dan agung kepada para hambaNya yang mana ianya bukan hanya untuk dinikmati untuk makhlukNya yang bernama manusia.. Tetapi, dikurniakan nikmat agung ini untuk menjadi Cahaya Jalan Yang Lurus yang mana ianya dapat dinikmati oleh seluruh makhluk di Alam ini samada yang berada di langit di bumi mahupun yang segala apa yang ada di antara duanya..

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Anbiyya’ ayat 107 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Wahai Muhammad s.a.w), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semester Alam”..

Nikmat kelahiran manusia agung yang diciptakan sebagai sebaik-baik makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t.. Hadirnya insan yang bernama Muhammad ibn Abdullah s.a.w.. Insan inilah yang telah menerangi kembali alam setelah sekian lama digelapkan oleh para hamba Allah s.w.t yang terleka dan lalai lantaran mensyikirkan Allah s.w.t.. Insan inilah yang telah membersihkan liang-liang kesyirikan yang mencacatkan aqidah Ummah manusia lantaran mengikut jejak langkah syaitan dan hawa nafsu yang melulu..

Firman Allah s.w.t dalam surah Al Ahzab ayat 21 “ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”..

Muslimin dan muslimat yang dikasihi,

Sekiranya ingin diselami kisah yang melayari bahtera yang dikemudikan Muhammad Rasulullah s.a.w.. Ketahuilah, akan kering tujuh lautan dunia ini andainya dititipkannya sebagai tinta yang menukil kalam keindahan yang tersingkap sepanjang kisah perjalanan Hamba Allah s.w.t yang diangkat sebagai Habibullah s.a.w.. Tiap bait kata yang dilafazkannya, tiap peri lakunya, tiap tingkah tindaknya dan apa juga yang dilakukan oleh Muhammad s.a.w merupakan wahyu dan ilham daripada Allah s.w.t.. Semuanya merupakan syariat kepada Ummah..

Rasulullah s.a.w tidak dididik melalui pentarbiyah manusia.. Tetapi, Rasulullah s.a.w mendapat tarbiyah yang terhebat daripada kekasihNya.. Allah s.w.t menamatkan kembara hidup ibu, ayah serta datuk Rasulullah s.a.w sejak usianya kecil lagi.. Malah wajah suci ayahnya tidak pernah dilihat oleh manusia agung ini.. Secara logiknya, Apakah Allah s.w.t tidak boleh membiarkan anak kecil yang dilahirkan ini mendapat kasih sayang kedua ibu bapanya?.. Bayangkan sekiranya kita lahir tanpa kedua orang tua?.. Alangkah sengsaranya..

Namun Ketahuilah, letakkanlah wahyu diatas aqal manusia yang sempit.. Sesungguhnya lebih indah dan sempurna pentarbiyahan Allah s.w.t berbanding asuhan manusia.. Apalah sangat keindahan nikmat kedua Ibu Bapa berbanding nikmat berdampingan dengan Allah s.w.t.. Bukannya melalui jarak tempat, masa dan arah.. Tetapi, melalui pengetahuan serta magrifah yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kekasihNya Muhammad Rasulullah s.a.t.. Mengenal Allah s.w.t itu merupakan nikmat yang lebih hebat dan agung daripada semuanya.. Kerana Dialah yang menjadikan Alam ini.. Maka, Dialah yang lebih mengatahui akan apa yang diciptakanNya..

Lihatnya kesan hadirNya manusia agung didikan dan ditarbiyah oleh Allah s.w.t.. Pencipta sekelian makhluk ini.. Sekiranya menyingkap lembaran keagungan Islam.. Semuanya merupakan lautan ilmu yang bersumberkan Muhammad Rasulullah s.a.w.. Semua yang ada pada diri Rasulullah s.a.w merupakan pengetahuan yang mampu melahirkan khalifah yang ulung di muka bumi Allah s.w.t.. Bermula daripada Ilmu berkeluarga, ilmu bermasyarakat, ilmu kepimpinan, Ilmu sains dan teknologi dan semua bidang ilmu bisa diperoleh melalui kefahaman terhadap Sirah Muhammad s.a.w..

Lihatlah Bagaimana satu ketamadunan manusia yang hidup digelombang kejahilan berjaya menongkah arus untuk sampai ke pulau Cahaya Jalan yang Lurus.. Lantas ianya melahirkan sinar ketamadunan manusia yang berakhlak terpuji dan mulia.. Ketamadunan Madinah Al Munawwarah merupakan tamadun yang disusun dengan wahyu daripada Pencipta.. Tamadun yang diasaskan dengan Tauhid mengesakan Allah s.w.t dan mengakui kerasulan Muhammad s.a.w..

Tidak ada cacat celanya pemerintan Muhammad s.a.w.. Setiap permasalahan diselesaikan bersumberkan wahyu dan ilham Allah s.w.t.. Bermula dengan sistem perlembagaan Madinah yang dikenali sebagai Piagam Madinah, sosioekonomi yang berasakan keadilan, tiada riba dan penindasan, system sosial perhubungan kaum dan etnik yang terpimpin seperti system persaudaraan yang menyatukan Aus dan Khazraj sebagai kaum Ansar dan sebagainya.. Semuanya telah dijamin dengan keselesaan oleh Pemimpin Agung Madinah al Munawwarah..

Hanyalah tipuan dan helahan yang dibuat oleh musuh-musuh Allah s.w.t seperti orentalis barat dan yahudi bagi mengkaburi mata manusia.. Mereka dengan sedaya upaya untuk menipu dan menukarbelitkan fakta sejarah.. Seperti mana difirmankan Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 120.. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”..

Muslimin dan Muslimat,

Kehidupan yang indah dan cantik terlukis ke dalam peribadi Muhammad Rasulullah s.a.w.. Hatinya sentiasa terpancar cahaya magrifah yang menerangkan pengatahuan kepada kekasihNya.. Sehinggakan tidurnya Rasulallah s.a.w hanya digambaran matanya.. Namun, hati Rasulullah s.a.w tetap berjaga dan hampir pengatahuanNya kepada Allah s.w.t.. Zahirnya tidak mampu melukis keindahan hakikat batin Rasulullah s.a.w..

Indahnya peribadi sehingga ramai yang menerima hidayah Iman, Islam dan Ihsan hanya kerana melihat Rasulullah s.a.w secara zahirnya.. Tidak perlu berbicara mahupun bersalam.. Keindahan peribadi Rasulullah s.a.w sudah dapat tersergam keindahannya ke dalam hati manusia hanya dengan melihat zahirnya..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Lihatlah keperibadian Saidina Umar Al Khattab r.a hasil tarbiyah dan didikan manusia agung Muhammad Rasulullah s.a.w.. Didikannya bukan hanya mengubah zahir Saidina Umar Al Khattab r.a.. Tetapi, terungkai sekali batinnya dengan keindahan mahmudah dan disirami kemanisan iman yang menjadi dambaan setiap insan yang beriman.. Bagaimana seorang manusia yang berhati batu?.. Sehingga sanggup membunuh anak perempuan yang masih kecil dan tidak mengerti akan kehidupan.. Berubah kepada makhluk Allah s.w.t yang bertakwa dan beriman.. Sehinggakan disegani dan ditakuti oleh manusia dan jin.. Termasuklah syaitan yang dilaknat Allah s.w.t.. Takutnya musuh manusia yang nyata kepada keperibadian Umar Al Faruq hasil didikan dan tarbiyah agung Muhammad s.a.w..

Muslimin dan Muslimat,

Sebagai akhirnya, nukilan ini bukanlah penulisan yang layak untuk menukilkan keperibadian Kekasih Agung Muhammad s.a.w.. Hanyalah sedikit kesedaran yang terkandung di benak hati penulis lantaran cuba membawa kecintaan diri kepada Muhammad s.a.w.. Kerana untuk mencintai seseorang itu ataupun apa jua perkara perlunya kefahaman atau pengenalan terhadap seseorang itu mahupun sesuatu perkara.. Hanyalah sedikit ingatan kepada diri dan kalian dalam usaha untuk mengingatkan kembali Mengapa perlunya mengasihi kekasih kepada Pencipta kita.. Sesungguhnya, hanyalah mereka sentiasa mengikuti jejak Cahaya Jalan Yang Lurus itu yang bisa mendapat syafa’at di hari kelak yang mana manusia akan berasa bimbang dan cemas akan diri sendiri.. Hanyalah manusia yang bernama Muhammad s.a.w yang sibuk dan bimbang memikirkan diri insan lain atau ummahnya ketika menusia sibuk membilang nasib diri.. Menjelang tarikh 12 Rabiul awal 1430 H bersamaan 9 Mac 2009 ini marilah bersama-sama kita bermuhasabah.. Sejauh mana kecintaan terhadap Kekasih Allah s.w.t yakni Muhammad Rasulullah s.a.w


Sekian, Terima Kasih..

Al Faqir Ila Allah..

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..