Monday, March 16, 2009

*Kejelitaan Insaniah


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


Kejelitaan insaniah..


Sebagai lelaki dan wanita yang telah berjanji untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t, pedoman dan panduan syariah berasaskan Al Quran dan As Sunnah serta pandangan Ulama’ Mujtahid dalam memahami kedua sumber utama dalam Islam.. Ayat-ayat Al Quran dari Surah An Nuur Ayat 30-31, dan Surah Al Ahzab ayat 59 menjadi garis panduan dalam mengukur keindahan dan kecantikan fizikal para muslim dan muslimat..


Menurut Syed Qutb dalam Tafsir Fil zilal, dalam menghuraikan tafsiran ayat 30-31 dari Surah An Nuur, kecantikan manusia dapat dibahagikan kepada dua, kecantikan haiwaniah dan kejelitaan insaniah.. Sebagaimana kelompok haiwan yang lain, manusia dibekalkan dengan kecantikian naluri yang perlu untuk menarik perhatian manusia yang berlainan jantina bagi tujuan kopulasi atau pembiakan yang penting untuk memastikan penerusan zuriat dan kemandirian.. Di tahap ini, kelompok manusia tidak ubah seperti sekawan lembu dan kambing yang meragut rumput di padang.. Namun demi kemuliaan manusia yang dipertingkatka darjatnya oleh Allah s.w.t, konsep “AURAT” diperkenalkan seawal penciptaan manusia pertama iaitu Adam a.s.. Anggota badan yang dikatogerikan sebagai aurat adalah sebenarnya bahagian yang meliputi organ pembiakan manusia..


Apabila kecantikan haiwaniah itu ditutup daripada pandangan umum, Allah s.w.t menggantikan dengan kejelitaan insaniah – yang mencukupi konsep kesopanan dan kesantunan.. Dengan menjaga batas-batas aurat yang ditetapkan Allah s.w.t, manusia mampu berinteraksi di antara satu sama lain dengan penuh kesopanan dan kehormatan.. Dengan kata lain, jika ada manusia yang membelakangi arahan Allah s.w.t ini, lalu mendedahkan kecantikan haiwaniahnya dengan penuh bangga untuk ditonton oleh semua orang, bukanlah suatu yang menghairankan jika iteraksinya akan berkesudahan dengan populasi dan persetubuhan atau penzinaan.. Lantaran ketika saat itu, dia beroperasi di peringkat atau tahap haiwaniah semata-mata..


Kayu ukur yang berpandukan kepada kefahaman di atas tentunya akan bertindak lebih adil terhadap wanita.. Keutamaan seseorang wanita tentunya berubah dari sekadar mencapai kecantikan dan kejelitaan lahiriah semata-mata, kepada satu usaha sedar memastikan setiap tingkah laku dan gerak geri tidak terkeluar dari batasan yang ditentukan oleh Allah s.w.t.. hanya itulah satu satunya cara seorang wanita dapat meraih kecantikan dan keanggunan yang hakiki.. Wanita itu tentunya bebas merdeka dari kegusaran yang sentiaa memburu, yang menuntutnya untuk tunduk dan mengikut “trend” semasa.. Dia yakin sekiranya dia berusaha untuk menuruti apa yang dibatasi oleh Allah s.w.t, dia tidak perlu bimbang dengan apa yang dikatakan oleh orang lain..


Tentu sekali, kesedaran ini tidak pula menjdaikannya seorang yang selekeh, tidak berketrampilan, comot dan pengotor.. Malahan ianya akan berubah dari seorang yang mengejar kecantikan yang palsu dan olok-olok , kepada seorang yang tenang melayari hidupnya dengan penuh keanggunan, kesopanan dan kesantunan.. Begitulah seharusnya nilaian yang perlu kita sematkan ke dalam jiwa anak-anak muda kita, yang dikhuatiri sudah begitu jauh tersasar dari pedoman agama dan budaya bangsanya..


Marilah kita melipatgandakan usaha mencari keredhaan Allah s.w.t semata-mata dan bukannya sekadar mendapat pengiktirafan manusia.. Aduhai, bahagialah jiwa yang tenang, setenang air di kali, matanya memancarkan iman yang hakiki dan gerak gerinya melambangkan akhlak yang tinggi..


Petikan Tulisan Prof Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj.. Majalah I Bil 77.. Mac 2009..

No comments:

Dengan Nama Allah s.w.t..