Tuesday, November 11, 2008

*Kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w (Bahagian 1)



Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

Nabi Muhammad s.a.w dan kebersihan..


Islam amat menitikberatkan kebersihan dan kesucian kepada umatnya.. Samada kebersihan dan kesucian diri sendiri mahupun kebersihan di persekitaran kediaman..

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda "Sesungguhnya Allah s.w.t itu indah (indahnya Allah s.w.t tidak seperti indahnya Makhluk ciptaanNya). Maha Bersih dan suka akan kebersihan, Maha Mulia dan sukakan mereka yang mulia, Maha Pemurah dan sukakan yang pemurah, Maka bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah kamu menyerupai kaum yahudi (yang pengotor).." Riwayat At tirmizi..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,
Baginda s.a.w amat menitikberatkan kebersihan diri Baginda s.a.w.. Banyak contoh-contoh yang dapat dilihat bagaimana indahnya Baginda s.a.w menjaga penampilan Baginda s.a.w..

Antaranya, mari kita mengambil satu contoh Baginda s.a.w terhadap presepsi Saidina Rasulallah s.a.w terhadap minyak wangi sahaja.. Baginda s.a.w gemar menyimpan minyak wangi sebagai keperluan seharian.. Baginda s.a.w tidak pernah menolaknya sekiranya dihadiahkan kepada Baginda s.a.w.. Sehinggakan Baginda s.a.w pernah menasihatkan para Sahabat r.hum dengan sabdaNya " Tiga perkara yang sekiranya diberi padamu.. jangan ditolak.. Bantal, minyak wangi dan susu.."

Kerana itulah, memakai minyak wangi itu adalah sunnah Baginda s.a.w.. Kerana Baginda s.a.w mengetahui akan manfaat yang akan diperoleh dengan memakai minyak wangi..
Al Imam Syafiee r.a berkata "sesiapa yang bertambah wanginya. Maka bertambahlah kecerdikannya.."

Hal ini menunjukkan bahawasanya Saidina Rasulillah s.a.w amat mementingkan keselesaan, kebersihan dan penjagaan kesihatan yang baik..Sehinggakan Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan para sahabat r.hum supaya menjaga persekitaran halaman rumah mereka untuk membezakan halaman rumah orang islam dan yahudi..

Hatta, dalam penjagaan gigi.. baginda s.a.w amat menggalakkan bersiwak.. sehinggakan Baginda s.a.w bersabda " kalaulah tidak memberati ummahku. pasti aku memerintahkan agar bersiwak setiap kali untuk bersolat."Muslimin dan Muslimat,

Kerana kasihnya Nabi Muhammad s.a.w kepada ummahnya begitu tinggi dan hebat.. Baginda s.a.w tidak mahu sekali memberati ummahnya dengan sesuatu perkara.. kerana itulah banyak sabdaan baginda s.a.w sering menggunakan lafaz " sekiranya tidak memberati umat ku"

Nabi Muhammad s.a.w juga menyarankan agar menjaga kebersihan untuk mengelakkan fitnah kepada agama islam.. Sehinggakan baginda s.a.w menyarankan dengan sabdanya "hendaklah kalian mengambil perhiasan untuk setiap kali pergi ke masjid."..

kata Al Imam Abu Hassan Syazuli r.a.. masjid yang digambarkan itu merupakan semua tempat sujud di dunia ini..
keseluruhan dunia ini boleh dijadikan tempat sujud selagi mana tempat itu suci.. Maka, perlulah berhias disegenap perjalanan dunia ini.. Namun perlu diingatkan, perhiasan itu memerlukan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.. Ianya perlu mengikuti syara' dan nilaian halal dan haramnya..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Para Ulama menyatakan tujuan Nabi s.a.w menunjukkan pemakaian minyak wangi untuk memberi contoh bahawa pentingnya penjagaan diri..

Kerna Para Sahabat r.huma umumnya akan melakukan segala perbuatan Nabi Muhammad s.a.w.. kerana mereka ingin sekali mengikut segala keperibadian kekasih Allah s.w.t.. Segala sunnah Baginda s.a.w..

Walaupun, hakikatnya peluh Nabi Muhammad s.a.w itu lebih wangi daripada wangian yang dipakai oleh Baginda s.a.w..

Dalilnya dapat dilihat berkaitan peristiwa Ummu Sulaim r.ha bonda Anas bin Malik r.a.. ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang tidur dalam keadaan berpeluh.. Ummu Sulaim r.ha menadah peluh peluh Baginda s.a.w.. Maka, apabila terjaganya Baginda s.a.w.. bertanya baginda s.a.w kepada Ummu Sulaim r.ha "apakah yang kamu lakukan?." Ummu Sulaim r.ha berkata "aku ingin mendapatkan keberkatan dan wangian."..

Kerna jasad Saidina Rasulillah s.a.w itu merupakan jasad ahli syurga.. jasad ahli syurga ini wangi amat sekali.. Maka, antara hikmahnya pemakaian minyak wangi oleh Baginda s.a.w untuk mengelakkan ketaksuban Para sahabat r.hum terhadap Nabi Muhammad s.a.w..

Kerana itulah juga Allah s.w.t tidak menzahirkan sepenuhnya keistimewaan jasad Nabi s.a.w..

kata Ibnu Qurtubi r.a "jikalau di zahirkan berkat Nabi s.a.w di bumi ini.. nescaya tidak ada insan yang mampu yang melihat dan duduk bersama nabi s.a.w." (bergaul bersama baginda s.a.w)

Kerna itulah Saidina Umar Al Khattab r.a mendeklamasikan sebuah syair selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w yang bertajuk kesedihan .. antaranya yang disebut..

"engkau rasul yang telah menurunkan darjat engkau.. kerna, jika tidak menurunkan darjat jasad engkau.. nescaya tidak ada anak anak perempuan kami layak untuk bernikah dengan engkau.. engkau tidak boleh duduk seharipun dengan kami.. kalau engkau tidak menurunkan darjat engkau.. tidak mungkin kami dapat hidup dengan rasulallah s.a.w"..


Syiekh Ahmad Idris r.a berkata "terlalu besar kesempurnaan Nabi s.a.w daripada diketahui oleh manusia dilihat oleh hati msnusia.".. sehinggakan saiditina aisyah r.ha sendiri mengakui tidak pernah melihat hakikat wajah Nabi s.a.w..

Namun, Allah s.w.t menghijabkan hakikat nabi s.a.w supaya dengan itulah dapat manusia melihat Nabi s.a.w dan mendampingi Baginda s.a.w..

Saidina Ali k.w.j berkata"sesiapa yang melihat rasul (secara tidaksengaja) dengan tiba tiba.. maka orang itu akan mengigil."..

Ini menunjukkan bahawa hakikat Nabi s.a.w sebenarnya penuh dengan kebesaran Allah s.w.t..

Sekian, Terima Kasih..

Kupasan Kitab Syama'il Muhammad (kesempurnaan Muhammad) oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki..

Monday, November 10, 2008

*Masjid Tanpa Manusia..


INDAH IANYA TERSERGAM TANPA PENGHUNINYA.. BENARLAH SABDA BAGINDA S.A.W.. TANDA-TANDA AKHIR ZAMAN..

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..



Bicara seorang manusia..



Tenang,
Suasana permai senja,
Tanpa bicara angin menyingsir,
Tanpa suara udara bergeser,

Sunyi,
Suasana masjid ini,
Tanpa kedengaran munajat hamba,
Tanpa kesayuan rintihan jiwa,
Cuma suara Sudaisi asyik mengalun kalam Tuhan,

Aku,
Duduk menghadap mimbar,
Temangu sendirian nanti waktu,
Menanti menjelma magrib di awal kelam,

Hatiku,
Tiada lagi tenang,
Di dasarnya meronta gelisah,
Naluriku jua menjerit bimbang,
Sanubariku juga seakan dijerut resah.

Memang,
Tersergam persona masjid ini,
Bagai wajah perkasa umat islam kala ini,
Di bangga keindahannya ke pelusuk benua,

Katanya inilah petanda kekuatan umah,
Kononnya inilah kebangkitan tamadun islamiah.

Namun,
Lihat saja tika ini,
Azan magrib bakal muezzin laungkan,
Tetapi cuma aku kesepian di masjid ini,
Tiada langsung insane hadir disini selainku,
Seumpama pupus sudah umat islam itu,

Kemanakah mereka semua itu?
Mana pergi manusia mengakui islam itu?

Aneh,
Mengapa umat islam kini menjadi begini?
Mengapa umat kini tidak imarahkan masjid ini?
Mengapa umat kini tidak berjemaah di sini?
Mengapa umat kini seakan menjauhi masjid ini?
Mengapa umat kini seakan tuli seruan di sini?
Mengapa? Mengapa? Mengapa semua umat begini?

Letih,
tidak bisa aku bermonolog lagi,
semakin luntur rasa diriku untuk berkata,
semakin lelah akalku untuk berbicara,
buntu fikiranku apa perlu tingkahku,
apa perlu lakuku lagi,

Aku,
cuma insan biasa yang tak punya apa,
Tiada kuasa, pengaruh atau harta benda,
Yang bisa dibangga banggakan,
Apa mungkin aku mengubah segala ini,
Tiada makna semuanya bicaraku ini.

Mungkin,
Inilah saat sabdaan baginda s.a.w,
Masjid tersergam megah tanpa manusia,
Mungkin telah tiba waktu akhir zaman itu,
Zaman kekalutan umat islam penuh fitnah durjana,
Zaman penuh pancaroba tipu daya manusia,

Ya ilahi,
Aku memohon padamu,
Agar bisa tegar aku pada semua kesesatan,
Sematkanlah iman dan takwa dalam diriku,
Supaya aku tergolongan yang engkau redhai..

Muezzin jalanan

Sekian, Terima kasih..


Al Fakir ila Allah
..

Saturday, November 8, 2008

*Tegas dalam kelembutan..



Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

An Nisa' dari pandangan Al Qaradhawi..


Al Qaradhawi mencadangkan tiga usul untuk diperhatikan dan direnungkan untuk diperhati serta dianalisa oleh Muslimah..

Permata, bekerjasama sesama wanita untuk menyedarkan kaum wanita dan mempersiapkan mereka untuk membantu agama ini dan seterusnya memberi sumbangan dalam amal islami.. Menurut Al Qaradhawi, umat islam mempunyai masalah dalam memahami ajaran islam.. Ini kerana ada pihak yang menyatakan bahawa islam itu hanya didirikan sekadar solat, puasa, zakat dan haji semata-mata.. Mereka lupa satu perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu berdakwah, menyeru manusia agar kembali kepada Allah s.w.t serta nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran seperti mana yang difirmankan di dalam Surah Al Maidah ayat 2 "Saling tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa."

Kedua, menurut Al Qaradhawi, Muslimah juga mempunyai peranan yang tidak kurang penting dalam sistem kekeluargaan.. Peranan mereka amat besar dalam mendidik anak-anak dan suami untuk mentaati perintah Allah s.w.t.. Seandainya ada di dalam keluarga wanita tersebut yang bergelumang dalam aktiviti dakwah, maka wanita tersebut mempunyai peranan yang amat besar sebagaimana isteri kepada Ulama Salafussoleh... Ini dapat dilihat seperti mana yang dilaukan oleh Khansa' ketika memberi nasihat kepada keempat anaknya ketika Perang Qadisiyyah atau seperti Asma' binti Abu Bakar r.ha Dzatu Nithaqain kepada anaknya Abdullah bin Zubair r.a..

Ketiga, Muslimah juga boleh berperanan penting dalam masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan masyarakat.. Misalnya, seorang muslimah itu seorang Da'ie atau pendidik, sasterawan .. Maka, mereka boleh berperanan dengan memasukkan nilai keislaman dalam pekerjaan yang dilakukannya.. Seandainya dia tidak mempunyai kelebihan tersebut, mereka boleh berperanan walaupun sangat kecil seperti membuang batu-batu kelikir yang mengganggu jalan dakwah..


Akhirnya, Al Qaradhawi membayangkan peranan yang besar yang boleh dimainkan oleh muslimah
kerana mereka mempunyai potensi yang sama sekali yang tidak ada pada kaum lelaki.. Beliau pernah mengungkapkan bagaimana Al Quran menceritakan peranan yang dimainkan oleh Ratu Balqis yang memerintah negeri Saba' yang dengan hikmah dan keberaniaannya termaktub di dalam surah An Naml.. Pada pandangan Al Qaradhawi kebanyakan muslimah kini lebih berperanan dan berjaya ke hadapan di dalam bidang pelajaran dan ilmu berbanding dengan lelaki yang disibukkan dengan "make up" kerata dan motor kesayangan mereka..

Sumber dipetik Majalah I..

Friday, November 7, 2008

*UNTUKMU PEJUANG (Bahagian 2)


BANGKITLAH WAHAI PEJUANG...


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..

Jati Diri Islam Sumber Kekuatan..





Penghayatan dan pemahaman terhadap tanggungjawab memelihara jati diri sebagai seorang muslim merupakan kefardhuan pada diri kita.. Lebih-lebih lagi di dalam perjuangan menegakkan agama Allah s.w.t.. Semua amal islami sewajibnya sudah menjadi sebati dalam diri pejuang agama Allah s.w.t..

Sebagai seorang pejuang, kita perlu melihat adakah kita telah melunaskan semua perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangannya, seperti menjadi hamba yang tetap melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus seperti sembahyang, berpuasa dan ibadah-ibadah yang umum seperti melaksanakan tugas dan tanggungjawab, menyayangi keluarga, menunaikan hak sesama manusia, bercakap benar, memakan makanan yang halal lagi baik, mencari sumber pendapatan yang halal dan sebagainya..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi dan disayangi,

Sebagai seorang da’ie, kita sentiasa dituntut agar berusaha mendekatkan diri serta mencari keredhaan Allah s.w.t. dengan bertakwa kepada Allah s.w.t.. Lihatlah Bagaimana Saidina Muhammad s.a.w, dalam perjalanan hidupnya.. Perjuangan dakwahnya sentiasa disirami munajat kepada Allah s.w.t.. Lantaran itulah, setiap apa sahaja pekerjaan dan aktiviti kehidupan seharian Bagainda s.a.w sentiasa hatinya terpaut pada Allah s.w.t..

Kerana itulah, perlu kita berusaha memelihara dan memantapkan diri, keluarga dan masyarakat kita dengan sentiasa mempertingkatkan jati diri agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman yang boleh menyesatkan serta merugikan kita sebagai seoarang muslim.. Ketahuilah, hasilnya akan lahirlah sifat pengorbanan yang tinggi dalam diri kita untuk berjuang dalam agama Allah s.w.t dengan sepenuh hati.. Tanpa dipaut dengan perasaan curiga dan keraguan.. Kerana kita mengetahui hakikat kemanisan yang dicapai dalam berjuang..

Muslimin dan Muslimat,

Di dalam berjuang, perlunya ada matlamat yang jelas supaya kita mengatahui apa sebenarnya tujuan dan haluan yang wajib kita harungi.. Maka, perlulah kita berusaha untuk mencapai..

Pertama : Memiliki keimanan yang mantap

Sebagai seorang muslim sejati hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. sepanjang masa. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat disamping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t.. Dan inilah kekuatan sebagai seorang Da’ie

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :


Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah ( bertawakal )”.

Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka

Kita sebagai seorang muslim sejati hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama mengatasi belenggu penjajahan pemikiran dari pemikiran yang jumud kepada terbuka ke arah kemajuan dan pembaharuan serta menghasilkan pemikiran baru bagi kebaikan diri, masyarakat dan umat Islam. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam. Kita juga tidak sepatutnya terikat dengan kehendak nafsu yang menginginkan keseronokkan..

Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah. Kerana sesungguhnya melakukan syirik terhadap Allah merupakan suatu dosa dan kezaliman yang besar.

Firman Allah dalam surah Lukman ayat 13 :

Yang bermaksud : “Sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar " .


Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan mencegah Nahi Mungkar

Sebagai seorang yang beriman dengan Allah s.w.t. serta mengakui kita sebagai seorang muslim sejati, maka sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan salah satu usaha dakwah dalam Islam. Maka sudah tentu tugas menyeru manusia kearah kebaikan menjadi keutamaan sesuai dengan ajaran Islam yang membawa maksud selamat dan sejahtera.

Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 110 :


Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.



( Surah al-Hujurat ayat : 15 )

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.


Sekian , Terima kasih

Al Faqir Ila Allah..

Thursday, November 6, 2008

*Kembalikanlah Jati Diri Asalmu Wahai Temanku..


BILAKAH AKU DAPAT MELIHAT UMAT ISLAM ITU KEMBALI PADA FITRAHNYA..


Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.


TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA JATI DIRI MUSLIM


Islam itu indah, kerana itulah mereka yang menyirami hidupnya dengan fitrah islam akan terpancar kemulian pada dirinya.. Islam memimpin manusia dalam semua aspek kehidupan.. Bermula daripada pentadbiran islam ataupun siasah islamiah yang berkaitan jemaah islamiah sehingga melebar kepada skop akhlak islamiah yang menjernihkan kekeruhan setiap individu muslim.. Daripada sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara.. Semuanya diajar oleh islam berpandukan Al Quran dan As Sunnah..

Singkaplah Sirah Nubuwwah.. Bagaimana kecantikan akhlak dan budi pekerti para sahabat r.hum yang ditaman oleh dakwah Saidina Muhammad Ibnu Abdullah s.a.w.. Bangsa Arab Jahiliah yang asalnya amat kasar dan bengis menjadi bangsa yang lembut dan penyayang serta mulia pekerti akhlak mereka.. Hanya kerana keindahan budi pekerti dan akhlak.. Ianya mampu menarik perhatian manusia untuk beriman kepada Allah s.w.t.. Ramai masyarakat Arab ketika itu melafazkan syahadah hanya kerana melihat pekerti mulia Habibullah s.a.w dan para sahabat r.hum..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Kerana itulah, Islam amat menganjurkan umatnya supaya berakhlak islamiah dan berbudi perkerti mulia dalam setiap tingkahlaku mahupun saat berbicara.. Kerana, kemuliaan dan kehormatan seseorang itu akan diukur melalui ketinggian keperibadian akhlaknya.. Maka, Tidak hairanlah mengapa ramai yang memeluk islam hanya kerana mereka melihat perwatakan Saidina Muhammad Al Mustafa s.a.w.. Sejarah juga telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi.. Sebaliknya, umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran..

Kerana itulah, objektif utama diutuskan junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabdaNya :


“ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ”

( H.R. Thabrani )


Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Namun, sekiranya diperhatikankan senario muslim hari ini, kita sering mendengar masalah yang menimpa umat Islam.. Umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup membimbangkan.. Terutamanya, di kalangan generasi muda mudi islam.. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t..

Terdapat segelintir umat Islam yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah hidup kembali seperti di zaman jahiliah.. Dan yang lebih parah lagi terdapat umat Islam yang memisahkan dan mengasingkan urusan dunia dengan urusan hidup seharian bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara..

Mereka percaya bahawa hanya ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu sains dan lain-lain yang terpisah dengan agama sahaja yang dapat membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan.. Ini semua merupakan petanda ke arah memisahkan agama daripada kehidupan manusia yang akan meyebabkan manusia hidup dalam budaya yang rosak dan jauh dari rahmat Allah s.w.t..



BILAKAH SAATNYA AKU AKAN MELIHAT KEINDAHAN ISLAM MENYINARI UMATNYA..

Muslimin dan Muslimat,

Memisahkan agama daripada hal-hal keduniaan akan memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan dan pembentukan akhlak manusia.. Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan hal-hal mereka dan perlu diberi kebebasan untuk melakukan apa yang diinginkan tanpa perlu ada sekatan daripada agama mahupun pemerintah dengan alasan bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu..

Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,

Sebagai akhirnya, sewajibnya kita sebagai orang yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t.. Kerana itulah, perlu kita menjadi umat yang kuat dan tidak akan mudah diseleweng atau terpesong dengan fahaman tersebut atau bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu semata-mata.. Kerana ketahuilah, kita perlu yakin bahawa dalam Islam kebebasan manusia bukanlah membawa maksud manusia itu bebas melakukan apa saja sesuka hati mereka, kerana Allah s.w.t.. telah menetapkan batasan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap manusia yang mukallaf dengan ketentuan halal dan haram begitu juga soal ganjaran pahala dan dosa..

Dalam Islam, kamajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitik beratkan soal pembangunan modal insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Berasaskan konsep inilah Islam muncul sebagai agama yang menjamin keharmonian, kesejahteraan, kebahagian dan kedamaian.. Barulah kita dapat mengembalikan semangat khilafah islamiah yang dahulunya bersinar cemerlang..

Sekian, Terima kasih

Al Faqir Ila Allah..

Thursday, October 30, 2008

*Apakah nilaian solat Subuh itu sama seperti sebuah filem @ anime?



Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w.

Bahaya Pengabaian Solat dan Natijahnya..

Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah mengsyariatkan seruan solat itu kepada hambanya.. Kerana Allah s.w.t maha mengatahui bahawa nilai ibadah ini sekiranya diamati oleh hambanya mampu membawa kemakmuran di muka bumi..

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah
ayat ke-30

""Sesungguhnya Aku (Allah s.w.t) mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."




Maka, ini selari dengan tujuan hadirnya manusia di alam ini dijadikan sebagai khalifah yang diperintahkan untuk memakmurkannya.. Solat itu menjadi asas modal insan untuk menjana kecemerlangan umat..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,



Namun malang sekali, di zaman yang dicanangkan hadharah islamiah ini.. Nilai kepentingan solat itu semakin hari semakin terkikis di dalam jiwa mukmin.. Semakin ramai mukmin yang seperti tidak mempedulikan dan tidak mempunyai kesedaran yang tinggi akan kepentingan kefardhuan itu..

Ramai yang dikalangan kita telah menjadi mangsa kepada virus 5S (sex, sport, screen, smoke, song) yang telah direncanakan dengan rapinya oleh golongan kuffar yang mempersekutukan Allah s.w.t.. Sehinggakan pengabaian solat itu berlaku.. Ramai manusia mukmin yang tidak solat kerana telah terkesan dengan Virus 5S..

Virus 5S yang pertama, SEX.. Berapa ramai pemuda dan pemudi di zaman ini telah ditiupkan ke dalam jiwanya akan keinginan melakukan sex ataupun zina?.. Cuba kita lihat kes-kes pembuangan bayi yang semakin membimbangkan.. Dan semua ini merupakan kesan pengabaian solat yang utama.. Kesanya, telah lahirlah satu gererasi islam yang rosak serta membantutkan pembangunan islam itu sendiri.. Sedangkan solat itu dapat mencegah perkara keji dan mungkar.. Ulama mentafsirkan bahawa perkara keji itu adalah berkaitan dengan nafsu amarah dengan kata lain penzinaan.. Maka, mereka yang abaikan solat akan menempah tiket untuk melakukan penzinaan tanpa mereka sedar..

Virus 5S kedua, sport.. Dipaksikan minda generasi muda mudi islam di zaman ini dengan pelbagai pertandingan sukan bertaraf dunia seperti piala dunia, sukan olimpik dan sebagainya dengan bertemakan mengeratkan hubungan sesama bangsa, kaum dan negara..
Natijahnya, berapa ramai orang mukmin yang bangun di tengah malam.. Pergi memenuhi ruang-ruang kedai mamak.. Bangunnya mereka bukan untuk melaksanakan sunnah utama Saidina Rasulallah s.a.w yakni menghidupkannya dengan bermunajat kepada Allah s.w.t.. Tetapi, bangun malam untuk menyaksikan pertandingan sukan yang dipenuhi dengan manusia yang ingkar kepada Allah s.w.t dan tidak menutupi auratnya.. Kesannya ramai di kalangan atlet islam yang tidak menutupi auratnya kerna dipengaruhi apa yang dilihatnya..

Virus 5S ketiga, screen.. Banyak sekali filem-filem hebat dan anime-anime menarik dihasilkan oleh golongan kuffar.. Dikaburkan mata orang-orang mukmin dengan provokasi bahawasanya ianya menjadi wadah untuk meringankan tekanan hidup dan sebagai hiburan.. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda "Bahawasanya solat itu adalah hiburanku.." Tapi, malangnya berapa ramai di kalangan kita yang menonton semua bayangan hiburan sehinggakan mereka terpaksa meninggalkan Fardhu Subuhnya.. Ramai yang tergelincir daripada menunaikan kewajibannya.. Lebih malangnya, kita tidak dapat merasai apa yang amat disukai Rasulallah s.a.w iaitu mendirikan solat..

Virus 5S keempat, smoke.. Ketahuilah, berapa banyak duit yang telah dilaburkan oleh umat islam untuk membeli rokok.. Sedangkan peratusan keuntungan wang rokok itu telah disalurkan kepada negara kuffar zionis untuk mengusir saudara kita di bumi Palestin.. Dalam perasan ataupun tidak.. Sebenarnya mereka yang bersama membeli rokok itu telah berkompromi membunuh saudaranya sendiri di bumi palestin.. Ketahui, islam amat menekankan persaudaraan dan memelihara hubungan sesama saudara.. kerana itulah Allah s.w.t berfirman bahawa manusia beriman itu merupakan bersaudara.. Maka, damaikanlah dua saudara kamu yang bertelegah.. Kerana itulah disyariatkan solat berjemaah di masjid.. Natijahnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan yang mantap..

Virus 5S kelima, song,

Lihatlah hari ini, betapa ramai dikalangan kita yang mengagungkan nyanyian dan penyanyinya.. Sehinggakan kita tidak mengenali ulama-ulama islam yang tinggi nilaian ilmunya.. Berapa ramai yang mengenali Syeikh Muhammad Alawi Al Maliki berbanding dengan Shah Rukh Khan yangmendapat gelaran Datuk.. Berapa ramai yang mengenali Syeikh Nukman bin Thabit r.a berbanding Elvis Presly.. Telah kita dilalaikan dengan nyanyian sehinggakan kita tidak lagi mendengar alunan Al Quran dan Zikir mengagungkan Allah s.w.t..

Muslimin dan Muslimat,



Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Al Maa´uun


1. Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
2. Itulah orang yang menghardik anak yatim,
3. dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
4. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat,
5. (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya,

Maksud orang yang lalai dari solatnya ialah mereka yang menunaikan solat bukan pada waktunya.. Sebagai contoh, mereka melakukan solat subuh pada waktu Dhuha.. Melakukan solat Asar dalam waktu solat Magrib.. Dan mereka yang melengah-lengahkan solatnya sehingga hampir tamat waktu solat tersebut..

Kerana itulah, golongan kuffar itu menggunakan serangan Virus 5S lantaran natijahnya amat memberi kesan terhadap perlaksanaan ibadah solat.. Ramai dikalangan kita lewat dan lebih malangnya selalu mengqhadakan solat kerana tertinggal waktunya disebabkan diresapi keseronokan Virus 5S..

Ketahuilah , salah seorang bekas menteri luar israel pernah berkata
"Kita tidak perlu takut kepada Umat Islam.. Selagi mana Saf-saf Subuhnya kosong dan tidak didatangi umat islam.."

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati..



Sebagai akhirnya, sedarilah wahai saudaraku.. Tulisan ini cuma untuk mengetuk hati kita supaya membuka aqal yang waras dan menilai semula apa yang telah menjadi sebahagian daripada hidup manusia.. Tidaklah hairan serangan Virus 5S ini berjaya.. kerana ianya benar disusun dengan teliti untuk memusnahkan.. Kerana mereka mengatahui.. Sekiranya islam itu diperangi dengan jasad.. Maka, akan tewaslah mereka.. Kerana penghayatan semangat jihad itu amat tinggi dikala manusia mukmin sedang bersedia membangunkan islam.. Dan apabila dilemahkan dan dilekakan dengan Virus 5S ini.. Akan longlailah kaum mukmin itu dan menjadilah kita seperti mana di sabdakan Orang islam itu umpama buih dilautan..

Bukanlah perubahan yang drastik perlu dilakukan.. Tetapi, cubalah kalian renggan masa berhiburmu dengan bertadabbur al Quran dan Hadith Rasulallah s.a.w.. Jadikanlah solat itu sebagai hiburan.. Kerana hanyalah Tautan Hati kepada Allah s.w.t yang akan menghasilkan cinta dan kasih sayang yang sejati.. Kurangkanlah waktu untuk menghiburkan nafsumu dan gunakanlah ia untuk menambah ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Semoga, dengan itu akan hilanglah penyakit "wahn" yang disabdakan Saidina Muhammad s.a.w.. Iaitu cinta dunia dan takut akan kematian..

Ketahuilah, mereka yang menjadi pendusta agama merupakan mereka yang telah disediakan Hotel-Hotel neraka yang dipenuhi Spa-Spa yang disirami air yang mendidih sehingga mampu memecahkan otak manusia.. Didalamnya disediakan binatang buas sebagai tukang urutnya yang dapat memusnahkan seluruh jasadnya..

Moga kita dijauhi dengan azabnya.. Semoga inayah Allah s.w.t menyanari kehidupan.. InsyAllah..

Sekian, Terima kasih..


Al Fakir ila Allah..

Wednesday, October 29, 2008

*Bagaimana mendapatkan solat yang sempurna?..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w..


IBADAH SOLAT DAN KEKUATAN UMMAH..



Pengsyariatan kefardhuan solat merupakan nadi kekuatan utama kepada umat islam.. Keistimewaannya dapat dinilai bagaimana ianya disampaikan secara terus kepada Saidina Muhammad ibnu Abdullah Al Mustafa s.a.w tanpa perantaraan Saidina Jibril a.s ketika malam Isra’ Mikraj.. Peristiwa ini mengggambarkan betapa ibadah solat itu merupakan elemen penting kepada umat islam..

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama.. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran.. Ianya juga menjadi medan asas tarbiyah dalam kepimpinan dan siasah islamiah kerana elemen berjemaah yang tersemat dalam kefardhuan solat.. Kerana itulah, Sirah Nubuwwah menunjukkan bagaimana Rasulallah s.a.w dan Para Sahabat r.hum benar-benar meneliti dan menganalisa peranan solat berjemaah dalam kehidupan untuk diaplikasikan dalam urusan individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya pentadbiran Wilayah Madinah Al Munawwarah..

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,



Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

“Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.” (Sunan Tirmizi)


MASJID PUSAT PEMBANGUNAN NEGARA MADINAH AL MUMAWWARAH

Namun, persoalan utama yang timbul ialah solat yang bagaimanakah dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?. Bagaimanakah solat dapat membawa perubahan kegelapan jahiliah kepada kilauan cahaya jalan yang lurus..

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati,


Pada asasnya pelaksanaan solat melibatkan dua elemen iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah).. Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. dan sebagainya.. Manakala pergerakan Rohaniah ialah pemusatan atau penyatuan pemikiran dan perasaan kepada Allah s.w.t sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat..

Oleh itu, solat yang dicanang perlulah dilakukan dengan penyatuan dua elemen dengan sempurna.. Barulah ia mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran.. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan..

Muslimin dan Muslimat yang insyAllah dirahmati,



Apa yang jelas, natijah daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.. ketaatan dan kepatuhan kepada segala perintah Allah s.w.t mulai bertunas di dalam diri.. Lantas, akhlak mulia mulai tumbuh segar menyuburi taman hati.. Akhirnya, lahirlah buah kecintaan dan kelazatan melakukan amal soleh dan kebajikan serta akan berpucuklah penawar kebencian akan maksiat dan kemungkaran.. Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan serta tinggi nilainya.. Kerana ia mampu membawa kita ke jalan yang diredhai Allah s.w.t..


Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 berbunyi:

”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "




Muslimin dan Muslimat,



Bagaimanapun apa yang menghairankan dan menyedihkan kita ialah terdapat juga segelintir kelompok masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. .

Mereka lebih merasai kelazatan menuruti hawa nafsu daripada kelazatan beribadah kepada Allah s.w.t.. Golongan inilah yang digolongkan oleh ulama’ tasawwuf sebagai hamba kepada nafsu dan bukan hamba kepada Allah s.w.t..

Golongan yang sebegini juga amat dimurkai Allah s.w.t sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Sebagai akhirnya, ingin penulis mengingatkan bahawa terdapat natijah yang amat bermanfaat kepada mereka yang sempurna melaksanakan ibadah solat, biasanya mereka juga sempurna melakukan ibadah dan amalan kebajikan yang lain.. Mereka juga mudah untuk menerima ilmu pengatahuan.. Lantas memudahkan urusan pembelajaran mereka.. Oleh itu, marilah kita menjaga solat yang difardhukan ke atas kita, dengan memenuhi aspek jasmani dan rohani.. Laksanakanlah solat yang berkualiti. Dalam usaha ke arah meningkatkan kesempurnaan ibadah solat..

Kata Imam al-Ghazali r.a untuk mendapatkan solat yang sempurna..



Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.

Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.

Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.

Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah s.w.t, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kelima : Sentiasa malu kepada Allah s.w.t, kerana kelemahan dalam beribadah.

Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah s.w.t, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah s.w.t.


“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”



Sekian, terima kasih..

Al Fakir Ila Allah..

Sumer : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia..

Dengan Nama Allah s.w.t..